Lima Inisiatif Kerajaan Negeri Untuk Mempercepatkan Proses Vaksinasi.
YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media secara atas talian.
IPOH, 4 JUN 2021- Kerajaan negeri akan melaksanakan lima inisiatif bagi mencapai sasaran 15,000 suntikan harian pada Jun 2021 berbanding purata 8,000 suntikan harian pada bulan Mei. Pengumuman itu dibuat oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Saarani Bin Mohamad dalam pertemuan bersama media secara maya.
Inisiatif pertama adalah melaksanakan program saringan RTK Antigen secara bersasar pada bulan ini mengikut lokaliti ‘hotspot’ penularan Covid-19 berdasarkan analisis data oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN). Ini dapat membantu mengenal pasti rakyat yang positif tanpa sebarang gejala tetapi berisiko menularkan jangkitan sekaligus membantu JKN mengesan jangkitan lebih awal dan memulakan rawatan.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menjalankan vaksinasi secara pandu lalu dan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) negeri telah mengenal pasti dua lokasi bagi inisiatif ini iaitu di Bandar Ipoh dan Meru memandangkan daerah tersebut mempunyai bilangan penduduk tertinggi di negeri Perak.
Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri yakin ia mampu meningkatkan anggaran suntikan vaksinasi harian antara 800 hingga 1,500 sehari selain mengurangkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) sedia ada. PPV Pandu Lalu ini juga akan dilaksanakan di daerah lain secara berperingkat.
Seterusnya ialah Program Outreach Vaksinasi Covid-19. Kumpulan vaksinasi bergerak (mobile team) telah memulakan vaksinasi di rumah-rumah jagaan warga emas atau rumah-rumah jagaan khas dan akan memulakan urusan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi warga emas serta orang kurang upaya yang berkeperluan khas. Sehingga 1 Jun 2021, seramai 2,270 penerima telah divaksin melalui inisiatif ini. Seterusnya, program ini juga akan mula memasuki kawasan-kawasan pendalaman dengan dibantu oleh lain-lain agensi bagi bantuan logistik dan pergerakan di kawasan berkenaan.
“Selain itu, penyediaan pengangkutan kepada penerima vaksin. Menyedari antara punca ketidakhadiran penerima mengikut temujanji ialah faktor pengangkutan ke PPV, kerajaan negeri menyediakan lebih 80 buah kenderaan pelbagai jenis yang dijangka mampu membawa 1,000 orang ke PPV setiap hari.
Inisiatif ini akan dapat mempermudahkan serta membantu meringankan kesukaran yang dihadapi oleh orang awam terutamanya golongan yang mempunyai kesukaran pengangkutan serta orang kelainan upaya (OKU),” tambah beliau.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan melaksanakan pembelian vaksin oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).
“Kerajaan negeri mengalu-alukan keputusan kerajaan Persekutuan membenarkan Pharmaniaga untuk membekalkan tujuh juta dos vaksin Sinovac kepada syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri sudah meminta pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya, Maju Perak Holdings Berhad untuk membeli terus bekalan vaksin daripada Pharmaniaga. Melalui inisiatif ini, mana-mana pihak secara individu atau syarikat boleh mendapatkan vaksin secara berbayar untuk diberikan kepada pekerja,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera di negeri Perak kini berjumlah 889,680 orang iaitu hanya 46% peratus daripada jumlah 1.86 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas. YAB Menteri Besar, Dato’ Saarani Bin Mohamad juga merayu kepada setiap lapisan masyarakat supaya tidak berlengah untuk membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera untuk segera mencapai sasaran imuniti kelompok.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.