Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2021 Diperluaskan Lagi.
YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media di atas talian.
IPOH, 16 Jun 2021- Kerajaan negeri telah bersetuju untuk meluaskan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera 2021 kepada lebih ramai golongan yang terjejas.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad mengumumkan antara inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan ialah moratorium bayaran balik pinjaman mikro kredit usahawan. Ini di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Yayasan Perak selama satu bulan bermula Jun 2021.
“Kemudahan ini akan memanfaatkan seramai 743 usahawan dan melibatkan tunggakan bayaran sebanyak RM244, 450.60,” kata beliau.
Seterusnya ialah moratorium pinjaman Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang akan diperluaskan kepada semua peminjam iaitu seramai 796 berbanding 443 peminjam yang telah diumumkan sebelum ini.
YAB Dato’ Saarani Bin Mohamad juga mengumumkan pelaksanaan inisiatif Go Cashless n E-commerce Usahawan Perak 2021 (GLeMMER 2021).
“Program ini bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai oleh penjaja, peniaga dan usahawan yang beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Melalui program ini, kerajaan negeri memberi baucar subsidi bagi pembelian dan penghantaran bernilai RM2.00 hingga RM5.00 yang akan memberi manfaat kepada 80,000 peniaga, penjaja dan usahawan. Program ini mendapat kerjasama daripada 9 syarikat platform atas talian dan penghantaran iaitu Shopee, Lazada, Grab, Foodpanda, Warongku, Halo Je, J & T, Touch n Go dan Boost,” tambah beliau lagi.
Menurut beliau, insentif bagi penggiat pelancongan yang diumumkan sebelum ini akan diperluaskan melalui pemberian one-off kepada pengusaha hotel bajet negeri Perak yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet Malaysia Negeri Perak (MyBHA Perak) serta pengusaha hotel dan resort di Pangkor.
“Langkah – langkah baru ini menjadikan jumlah keseluruhan PRE Perak Sejahtera yang sebelum ini bernilai RM19.5 juta yang diumumkan pada 2 Jun kini meningkat menjadi RM25.7 juta melibatkan sebanyak 44 inisiatif dan bantuan kepada segenap lapisan rakyat Perak yang terksesan akibat pandemik COVID-19,” kata beliau semasa mengakhiri pertemuan bersama media secara maya pada hari ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.