Skip to main content

Sungai Siput Lokasi Pertama PPV Bas Bergerak Mara Liner.

YB Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar bergambar bersama para penerima suntikan vaksin Covid-19

SUNGAI SIPUT, 26 Jun 2021: Sungai Siput menjadi lokasi pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak Mara Liner sebagai usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Untuk membawa suntikan vaksin Covid-19 ke kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli.

YB Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman bin Mohamad berkata, program ini dijayakan dengan kerjasama antara PPV Bas Bergerak MARA Liner, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Hospital Daerah Sungai Siput serta beberapa agensi kerajaan lain bagi melancarkan Kempen Imuniti Berkelompok di sini.

“Usaha ini untuk memastikan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan melalui PPV Bas Bergerak ini, dianggarkan seramai 800 orang dapat menerima suntikan vaksin.

“KPLB sentiasa berusaha untuk memberi penerangan jelas mengenai  kebaikan suntikan vaksin terhadap masyarakat luar bandar serta membantu mereka  yang menghadapi kesulitan untuk bergerak ke PPV.

Beliau berkata demikian selepas melihat proses vaksinasi yang dilakukan di PPV Bas Bergerak MARA Liner di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Bawong, di sini.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi bin Paharuddin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun yang juga merangkap ADUN Lintang.

Dalam program tersebut seramai 100 orang masyarakat Orang Asli menerima suntikan vaksin Covid-19 dan daripada jumlah tersebut, seramai 40 orang adalah Tok Batin masyarakat Orang Asli di Daerah Kuala Kangsar manakala 60 orang adalah warga emas masyarakat Orang Asli.

Ujar YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad lagi, melalui usaha-usaha yang dilaksanakan ini, KPLB berharap agar kesemua 144,180 orang masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak menerima suntikan vaksin dengan segera.

“Diharapkan dengan usaha ini, pihak kerajaan dapat mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia sebelum akhir tahun ini.

“KPLB juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli untuk mendaftar pengambilan vaksin Covid-19. Pendaftaran boleh dibuat di aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui bantuan pegawai JAKOA Daerah dan Negeri masing-masing. JAKOA Sentiasa bersedia membantu masyarakat Orang Asli serta membawa masyarakat Orang Asli di Kawasan pedalaman ke PPV untuk mengambil vaksin.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 17 buah bas Mara Liner Sdn Bhd telah diubah suai menjadi PPV di mana setiap unit PPV m,empunyai 9 kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Operasi tersebut merangkumi kaunter pengesahan, pendaftaran, konsultasi, pemerhatian dan rawatan selaras dengan syarat yang ditetapkan KKM dan beroperasi selama 10 jam dengan anggaran 800 orang penerima vaksin sehari.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.