Skip to main content

Perak Akan Mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pada Ogos Ini.

sidangDewan

YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media di atas talian.

IPOH, 30 Jun 2021- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada 25 Ogos ini.

Pengumuman itu telah diumumkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad kepada media secara maya pada hari ini.

“Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 Perak Darul Ridzuan akan bersidang selama empat hari. Baginda telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan,” kata beliau.

Menurutnya lagi, berdasarkan perancangan awal, persidangan akan diadakan secara fizikal oleh semua wakil rakyat manakala ketua-ketua jabatan serta pemerhati akan mengikuti sidang DUN secara maya. Perjalanan persidangan boleh diikuti secara langsung di media sosial termasuk Facebook dan YouTube.

“Memandangkan persidangan dijadualkan berlangsung dalam fasa Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara, satu mesyuarat akan dijalankan bersama pasukan keselamatan termasuk Majlis Keselamatan Negara bagi mendapat nasihat dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Ia termasuklah bagi membincangkan ketetapan mengenai jumlah kehadiran dalam dewan, aspek penjarakan fizikal dan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta SOP lain yang berkaitan,” tambah beliau lagi.

Beliau juga berharap sidang DUN kali ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk wakil-wakil rakyat berkongsi pandangan dan buah fikiran terutamanya berkaitan dengan usaha secara kolektif untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Sementara itu, beliau juga telah mengumumkan inisiatif tambahan di bawah program Tuisyen Cikgu Saarani untuk membantu para guru Kemahiran Asas Fardhu Ain (KAFA) di negeri Perak yang melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Melalui inisiatif baru ini, Pejabat Menteri Besar dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) akan bekerjasama menghasilkan video-video kelas KAFA yang boleh dijadikan sebagai antara bahan PdPR atau dimuatnaik di media sosial.

“Buat permulaan, seramai 15 pegawai JAIPk serta guru-guru KAFA akan terlibat dalam proses rakaman serta penghasilan video-video interaktif meliputi bahan pelajaran untuk murid KAFA Tahun Satu hingga Tahun Enam,” kata beliau kepada media.

Inisiatif yang dilaksanakan ini adalah sebagai maklum balas terhadap cadangan supaya bantuan dan sokongan diberi kepada guru-guru KAFA yang berdepan kesukaran untuk menghasilkan kandungan serta bahan-bahan PdPR.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.