Perak Akan Menerima 688,000 Dos Vaksin Bulan Ini.
YAB Menteri Besar memberikan sumbangan kepada orang asli di sini.
IPOH, 4 Julai 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Bin Mohamad telah mengumumkan bahawa Perak dijadualkan akan menerima 688,000 dos vaksin pada bulan ini dengan 147,000 dos pertama dijangka tiba minggu depan.
“Sekiranya tiba mengikut seperti yang dijadualkan, Perak dijangka mampu merekodkan kadar suntikan antara 25,000 hingga 30,000 sehari. Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta,” kata beliau kepada media.
Menurut beliau, Perak telah merekodkan 14,402 suntikan harian pada 30 Jun lalu dan jumlah itu bertambah menjadi 15,918 pada 1 Julai dan terus meningkat pada kadar 19,341 pada 2 Julai. Momentum ini didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk program jangkauan komuniti atau 'outreach' yang dilaksanakan secara agresif sejak 11 Mei lalu.
Beliau membuat pengumuman itu semasa melakukan lawatan ke Program Vaksinasi di Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak. Sebanyak 100 vaksin telah diberikan kepada orang asli di sini.
Sementara itu, 120 buah rumah orang asli di Kampung Tonggang dan Kampung Sungai Suluh telah menerima bantuan sempena program agihan bantuan makanan kering dan basah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.