Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Sambut Baik PIKAS.

YAB MB Perak bergambar bersama tetamu yang hadir selepas merasmikan PPV PIKAS Casuarina Meru.

IPOH, 23 JULAI 2021- Kerajaan Negeri Perak menyambut baik Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang telah dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad berkata, langkah ini termasuk dalam Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan untuk membantu mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan rakyat, dengan mensasarkan kepada tenaga kerja dalam sektor-sektor pembuatan kritikal.

“Bagi negeri Perak, kita telah pun membuka tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri iaitu PPV Kompleks Sukan Proton yang mula beroperasi pada 12 Julai, PPV Convention Centre@Casuarina Meru dan PPV Sapura Fabrication Sdn. Bhd yang mula beroperasi pada 21 Julai lalu.

“PPV Convention Centre@Casuarina Meru adalah PPV Penggunaan Umum (melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel), manakala dua lagi iaitu PPV Kompleks Sukan Proton dan PPV Sapura Fabrication Sdn. Bhd adalah PPV On-Site (premis kilang),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas meninjau proses vaksinasi yang dijalankan di PPV Convention Centre@Casuarina Meru, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato' Shahrul Zaman bin Yahaya dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Jelas YAB Dato’ Saarani Mohamad lagi, kerajaan negeri telah mengambil maklum akan isu-isu berbangkit mengenai program vaksinasi COVID-19 di negeri Perak seperti isu bekalan vaksin.

“Negeri Perak mempunyai kapasiti untuk melaksana lebih 30,000 suntikan sehari. Namun kapasiti ini tertakluk kepada bekalan vaksin. Sebelum ini negeri Perak telah dijadualkan untuk menerima 688,760 bekalan vaksin bagi bulan Julai 2021.

“Setakat ini, negeri Perak telah menerima 452,610 dos vaksin daripada 688,760 dos vaksin yang dijadualkan dan kita berharap agar dapat menerima keseluruhan jumlah yang telah dijadualkan sebelum akhir bulan ini.

“Untuk makluman juga, sehingga 21 Julai 2021 600,627 orang (iaitu 32.25% daripada jumlah penduduk Perak yang berumur 18 tahun ke atas) telah menerima dos pertama dan seramai   311,793 orang (iaitu 10.8 peratus) telah menerima dos kedua,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri Perak akan membuka PPV PIKAS keempat di negeri ini iaitu di St. Louis Hall, Taiping yang akan beroperasi bermula minggu hadapan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.