Skip to main content

Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR), Bantu Golongan Rentan.

YAB Menteri Besar Perak ketika melancarkan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan

IPOH, 28 Julai 2021: Selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah melaksanakan Program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) mulai 1 Ogos ini bagi membantu golongan rentan yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19 di negeri ini.

Seramai 5,097 wanita serta 20,000 tanggungan dalam kalangan golongan miskin dan miskin tegar bakal menerima bantuan ini bagi mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup. Jumlah tersebut termasuk 1,104 penerima wanita daripada komuniti Orang Asli.

Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Isaace John berkata, Bantuan Program KIDR diberi melalui kad tanpa tunai yang boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas rawatan kesihatan di klinik swasta.

“Penerima bakal mendapat kad tanpa tunai bernilai RM250 sebulan selama lima bulan untuk pembelian enam belas jenis barangan keperluan asas.

“Bagi bantuan rawatan kesihatan pula, penerima akan menerima nilai RM250 untuk kegunaan seluruh ahli keluarga untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Kasih Ibu Darul Ridzuan yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad secara atas talian di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim serta beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jelas Datuk Seri Jebasingam Isaace John lagi, peserta program KIDR telah dipilih dan disaring melalui sistem eKasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) dan sistem iDamak milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di mana mereka berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019.

“Kita telah menyerahkan kad KIDR kepada penerima bermula 19 Julai lalu di seluruh 12 daerah di negeri Perak dengan kerjasama semua Pejabat Daerah dan Tanah manakala bagi penerima Orang Asli, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan melaksanakannya.

“Sebanyak 7.4 juta telah diperuntukkan bagi fasa pertama program ini dan setiap penerima kad tanpa tunai KIDR boleh menggunakannya bagi membeli barangan keperluan dari lebih 150 buah kedai runcit yang dilantik dan mendapatkan rawatan kesihatan dari 100 buah klinik berdaftar di bawah program ini,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, diharapkan perbelanjaan oleh penerima-penerima program KIDR di kedai-kedai dan klinik-klink panel yang dilantik akan memberi kesan limpahan ekonomi dengan menggalakkan perkembangan perniagaan runcit di kawasan tersebut

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 16 Januari 2026, 06:45:36.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.