DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Zahir Penghargaan Petugas Barisan Hadapan.
Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Rizuan Keempat Belas Di Dewan Negeri.
IPOH, 25 Ogos 2021- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan mereka yang bertugas di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Titah baginda, golongan itu telah memikul tanggungjawab berat luar jangka, berada di barisan paling hadapan, menghadapi risiko jangkitan paling tinggi dan satu beban tanggungjawab yang tidak pernah terbayang oleh profesion masing-masing.
“Doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans, pemandu van jenazah dan penggali kubur serta pengurus rumah-rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab luar jangka.
“Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas-petugas di kedai runcit, di pasaraya dan di farmasi, para pengendali pengangkutan awam, para anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berkaitan serta pegawai-pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting.
“Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai, semoga Allah SWT menganugerahkan khidmat dan pengorbanan mereka dengan sebesar-besar ganjaran,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa titah diraja Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Rizuan Keempat Belas di Dewan Negeri, Bangunan Darul Ridzuan di sini.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bertitah supaya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berdiri dan memberikan tepukan penghargaan sebagai tanda apresiasi kepada setiap petugas barisan hadapan.
Baginda turut menzahirkan penghargaan buat warga pendidik yang menghadapi cabaran berat dalam perubahan landskap andragogi dan pedagogi secara digital terutama dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Covid-19.
Titah baginda, warga pendidik, murid, ibu bapa dan pelbagai pihak yang terlibat langsung dengan pendidikan, menghadapi ujian dan cabaran berat.
“Beta menzahirkan penghargaan kepada warga pendidikan yang telah merintis segala usaha untuk memastikan murid-murid yang diamanahkan tanggungjawab ke atas bahu mereka, dapat diilmukan sebaik mungkin,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas berlangsung selama empat hari bermula 25 hingga 30 Ogos dengan mengguna pakai konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri.
Negeri Perak merupakan negeri pertama yang memperkenalkan konsep Gelembung Persidangan bagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah meminimumkan risiko penularan wabak dan langkah mitigasi bagi membolehkan tindakan kuarantin secara bersasar dilakukan jika berlaku jangkitan.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.