Perak Giat Usaha Program Pemberian Vaksin Kepada Remaja.

YAB Menteri Besar Perak Bersama YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Sumber Manusia Ketika Melakukan Lawatan Program Pemberian Vaksin Remaja
IPOH, 5 Oktober 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad hari ini melakukan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ipoh.
“Program Vaksinasi Remaja di Perak telah dimulakan sejak 20 September 2021 yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
”Sehingga semalam, sejumlah 126,211 pelajar sekolah berusia 12 tahun hingga 17 tahun seluruh negeri Perak sudah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin. Dalam jumlah itu, seramai 115,617 pelajar atau 91.6 peratus sudah menerima vaksin dos pertama.
“Manakala bagi 16 tahun hingga 17 tahun , seramai 61,853 pelajar sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya telah menerima vaksin.
“Seterusnya, pelajar berusia 12 tahun hingga 15 tahun, 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus telah mendapat suntikan vaksin.
“Kerajaan negeri telah membuka sebanyak 41 PPV bagi pelaksanaan Program Vaksinasi Remaja yang meliputi sekolah, sekolah vokasional dan PPV Awam sedia ada,” jelas YAB Menteri Besar Perak semasa bertemu media di program tersebut.
Program di sekolah ini telah berlangsung pada 27 September 2021 sehingga 8 Oktober 2021 dan pemberian dos vaksin kedua akan bermula pada 10 Oktober 2021 sehingga selesai.
Beliau turut mengingatkan para ibu bapa dan pelajar untuk segera mengambil suntikan vaksin.
“Saya nasihatkan kepada seluruh rakyat negeri Perak terutamanya ibu bapa yang patut menjadi teladan kepada anak-anak. Maka, ibu bapa juga perlulah mengambil suntikan vaksin dan mengajak anak-anak untuk turut sama mengambil vaksin sebagai perlindungan diri dan sekeluarga.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud; Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dr. Mohd Suhaimi Bin Mohamed Ali dan Pengetua Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah, Ustaz Ahmad Muizzudin Munawir bin Salehuldin @ Salehuddin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.