Skip to main content

Program Webinar Persediaan Menghadapi Bencana Empangan Di Negeri Perak Sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Ketika Program Webinar Persediaan Menghadapi Bencana Empangan

IPOH, 8 Oktober 2021 - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak telah melaksanakan Program Webinar Persediaan Menghadapi Bencana Empangan Di Negeri Perak Sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 secara atas talian.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkata, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021) telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 5 Oktober 2021 di mana ia selaras dengan sambutan International Disaster Day yang disambut pada 13 Oktober pada setiap tahun.

“Melalui tema pada tahun ini, iaitu ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’, kita ingin mengambil pendekatan keselamatan yang bermula daripada rumah. Hal ini kerana, budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat mesti dipupuk kerana semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab bersama.

“Selain itu, kesiapsiagaan bencana sudah menjadi tanggungjawab setiap individu kerana semua orang mempunyai risiko terhadap potensi bencana. Semua pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab bersama bertepatan dengan tema BKN 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Webinar- Persediaan Menghadapi Bencana Empangan di Negeri Perak Sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 secara atas talian di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Puan Nor Sham binti Rahman dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Tuan Noor Azam bin Johari.

Ujar YB Dato’ Ahmad Suaidi lagi, budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk orang perseorangan.

“Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan.

“Oleh itu, inisiatif untuk menganjurkan webinar ini kepada ahli-ahli dalam kalangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah merupakan langkah persediaan untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang boleh berlaku kepada empangan dan saliran yang terdapat di negeri Perak,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, JPBN juga turut menjemput Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak selaku agensi yang bertanggungjawab di dalam mengawal selia saliran air di Negeri Perak, untuk berkongsi mengenai sistem pengairan dan kecemasan yang akan digunakan sekiranya berlaku kejadian bencana.

Perkongsian daripada kedua-dua agensi ini amat penting supaya semua ahli di dalam JPBN dan JPBD dapat melihat dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai empangan dan dapat melakukan persediaan dalam menangani bencana akibat daripada empangan serta tindakan yang perlu dilakukan apabila berlakunya kenaikan air secara mendadak di saliran yang terdapat di negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.