Perak Perluas Pakej Rangsangan Ekonomi Bagi Membantu Perusahaan Mikro Kecil Dan Sederhana. 19 0ktober 2021

YAB Menteri Besar Perak ketika sidang media.
IPOH, 19 0ktober 2021 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani bin Mohamad hari ini melawat 11 perniagaan usahawan pelbagai kategori serta mengumumkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) berjumlah RM46.5 juta khusus untuk membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Negeri Perak.
Pertamanya, bantuan khas one-off RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM12.5 juta. Kedua, Geran Usahawan Perak (GeRUP) berjumlah RM1.85 juta kepada 619 penerima.
Ketiga adalah bayaran pampasan peniaga yang terlibat dengan pembatalan Bazar Aidilfitri tahun ini yang melibatkan dana sebanyak RM30,000 serta pengecualian sewa kepada 10,264 buah gerai di bawah PBT yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta.
Seterusnya, kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya (YBU) yang melibatkan 743 peminjam.
Manakala bagi sektor pertanian, kerajaan negeri akan memberi bantuan kepada para petani, penternak dan nelayan seperti bantuan input ladang dan ternakan, pemberian benih dan peralatan aktiviti penuaian hasil pertanian, program pembangunan modal insan serta kotak makanan.
Beliau turut mengumumkan Bantuan Perak Sejahtera Usahawan Kraftangan Perak berjumlah RM182,000 kepada 91 pengusaha kraftangan seluruh negeri Perak yang belum menerima sebarang bantuan dari mana-mana agensi sebelum ini.
“Bantuan one-off berjumlah RM2,000 ini diharap dapat membantu usahawan kraf bangkit kembali dalam perniagaan mereka.
“Bukan itu sahaja, sebagai tanda sokongan, saya telah meminta supaya semua agensi negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri Perak menggunakan produk-produk usahawan Perak sebagai cenderahati rasmi.
“Daripada lawatan ini, usaha kita menerapkan konsep pendigitalan perniagaan telah memberikan kesan yang positif khususnya dari aspek pemasaran usahawan. Jualan yang dahulunya jatuh telah mula bangkit. Malah, ada perniagaannya meningkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya turut mendapatkan beberapa pandangan dalam usaha kita melaksanakan pelan pemulihan demi merancakkan semula ekonomi rakyat dan negeri.
“Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Sekretariat Usahawan Negeri (STeP) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) akan terus berusaha memperkasakan golongan usahawan untuk membantu mereka membina semula perniagaan selepas pandemik Covid-19,” jelas beliau kepada pemberita semasa sidang media Program Lawatan Mesra Usahawan Perak di Miker Pizza hari ini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Zainol Fadzi bin Hj. Paharudin; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Hj. Rumaizi bin Baharin; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun yang juga merangkap sebagai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri (STeP), Encik Mohamad Rozlan bin Mohamad Razali.