Melindungi Bukan Menzalimi, Penjawat Awam Dinasihatkan Ambil Vaksin.
YAB Menteri Besar Perak ketika Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam.
KUALA KANGSAR, 1 November 2021- Penjawat awam yang belum menerima suntikan vaksin diseru untuk berbuat demikian bagi melindungi masyarakat secara keseluruhan dan bukannya menzalimi mereka.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, penjawat awam dan juga rakyat di negeri ini yang belum divaksin perlu berlapang dada dan mengetepikan apa jua pandangan dengan menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Selagi ada yang tidak mahu ambil vaksin, peluang untuk dijangkiti dan menjangkiti itu sangat tinggi, ia bukan kes terpencil, kita bukan ingin menzalimi tetapi melindungi mereka dan kita bukan paksa tetapi mereka perlu ingat bahawa kakitangan kerajaan terikat dengan peraturan yang ada.
“Tindakan ke atas penjawat awam ini dibuat kerajaan dengan mengambil kira bahawa golongan ini terdedah untuk mendapat jangkitan dan menyebabkan orang lain dijangkiti. Seperti contoh guru dan pekerja yang berada di kaunter, mereka sentiasa berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Sesi Townhall Bersama Penjawat Awam sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) DUN Lubok Merbau di Dewan Millenium, di sini.
Selain bersama penjawat awam, YAB Dato’ Saarani Mohamad juga berkesempatan untuk menghadiri sesi Townhall bersama golongan muda, opinion leader dan warga pendidik bagi mendengar idea serta pendapat dalam menyelesaikan isu-isu setempat.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan serta YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau, Dr. Haji Jurij Jalaludin.
Ujar YAB Dato’ Saarani Mohamad lagi, arahan untuk penjawat awam mengambil vaksin adalah selaras dengan pekeliling awam persekutuan bahawa mereka yang gagal melengkapkan imunisasi COVID-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamat perkhidmatan.
“Adalah satu perkara yang malang jika usaha kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengekang penularan COVID-19 serta kesedaran terhadap pentingnya vaksinasi ini tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak termasuk penjawat awam.
“Kita sudah bertungkus lumus mengatasi penularan COVID-19, jadi tidak adil kepada orang yang telah mengambil vaksin. Kita faham jika ada yang mempunyai masalah kesihatan atau alahan, tetapi mereka yang tidak mahu ambil vaksin ini akan menyusahkan orang lain,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, pada 18 Oktober lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin COVID-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.