YAB Menteri Besar Perak Dahului Penerima Darjah Kebesaran Negeri Perak.
YAB Menteri Besar Perak berucap semasa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak
KUALA KANGSAR, 14 November 2021 - Seramai 38 individu menerima darjah kebesaran pada siri pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak, sempena sambutan Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-65 di Istana Iskandariah, di sini.
38 individu tersebut merupakan 19 penerima pada tahun 2020 dan 19 penerima pada tahun 2021 dengan melibatkan pengurniaan yang membawa gelaran Dato’ Seri, Dato’ Seri Panglima, Dato’ dan Dato’ Pahlawan.
Mendahului senarai penerima, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran "Dato' Seri".
Menyusulinya adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Haji Buang dan Ketua Polis Negara, Inspektor General Tan Sri Acryl Sani bin Abdullah Sani yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Seri (SPTS) dan membawa gelaran "Dato' Seri Panglima" bagi tahun 2020.
Selain itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim serta YB Penasihat Kerajaan Negeri, Tuan Azmir Shah Zainal Abidin telah dianugerahkan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran "Dato" bagi penerima tahun 2020 dan 2021.
Turut berangkat pada istiadat itu DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan mengurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran "Dato’" kepada 13 penerima bagi tahun 2021.
Antara penerima adalah, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Norsham binti Rahman; YBhg. Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak, YDH Toh Jana Pahlawan SAC (B) Dato’ Abu Bakar bin Romlee; YBhg. Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Abdul Halim bin Ashaari; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Dato’ Arham bin Abdul Rahman; YBhg. Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya, Dato’ Prof Dr. Goh Khean Jin; YBhg. Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dato’ Dr. Jeyaseelan A/L P. Nachiappan; YBhg. Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato’ Prof Dr. Khalid bin Ismail; YBhg. Pengarah Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak, Dato’ Dr. Mohamad bin Saprin; YBhg. Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Dato’ Haji Mohamed Zaini bin Abdul Rahman; YBhg. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin bin Yusop; YBhg. Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Dato’ Dr. Mohd Suhaimi bin Mohamed Ali; YBhg. Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dato’ Dr. Hayati binti Nordin dan YBhg. Pengarang Kumpulan Berita Harian, Dato’ Saidon bin Idris.
Selain itu, Baginda turut perkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran “Dato Pahlawan” kepada 4 penerima bagi tahun 2021.
Antara penerima adalah, YBhg. Ketua Staff Markas Pemerintahan Operasi Udara TUDM, Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Felix Gonsalvez A/L Alexander; YBhg. Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Dato’ Pahlawan Rusli bin Ahmad; YBhg. Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Dr. Musa bin Kasmin serta YBhg. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, SAC Dato’ Pahlawan Anuar bin Othman.
Pada sambutan tahun ini, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan kepada 192 darjah, bintang dan pingat kebesaran bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda.
Dalam perkembangan sama, istiadat pengurniaan bagi siri seterusnya akan dianjurkan mengikut tarikh yang akan diperkenankan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.