Skip to main content

Kerajaan Perak Kemukakan 1,389 Projek Keutamaan Bernilai Rm27.58 Bilion – Rmke12.

YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) memberikan taklimat semasa siri jerayawara di Hotel Hilton,Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 17 November 2021- Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti 1,389 projek keutamaan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata keseluruhan projek yang dikenal pasti ini merangkumi nilai siling sebanyak RM27.58 billion.

“Antara projek utama yang telah dikenal pasti adalah Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

“SVTP adalah satu taman perindustrian baharu di Chemor, yang melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar (2,815 ekar).

“Projek ini dijangka akan menjadi pemacu sektor pembuatan berteknologi tinggi dan bertindak sebagai pemangkin revolusi industri 4.0.

“Kawasan ini akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam tempoh 2021-2024(4 tahun),” jelas beliau.

Tambah beliau, SVTP akan memberi fokus kepada lima sektor pembuatan utama berteknologi tinggi seperti Sektor Elektrik dan Elektonik, Sektor Peranti Perubatan dan Farmaseutikal, Sektor Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Sektor Pertanian Pintar dan Sektor Ekonomi Digital.

Manakala, WCE pula adalah projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

“Buat masa ini, Seksyen 8,9 dan 10 telah mula dibuka kepada rakyat negeri Perak dengan kos RM1.9 billion bagi jajaran di negeri Perak.

“Pembukaan lebuhraya ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan akses ke kawasan pantai barat dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan siri jerayawara (roadshow) RMKe-12 bersama Kerajaan Negeri Perak yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed berkata ia bertujuan untuk menghebahkan dasar, strategi dan inisiatif RMKe-12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri.

Menurut beliau, libat urus ini memfokuskan mengenai pembangunan digital di bawah RMKe-12 serta pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS).

Tambahnya, kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR)  Negeri untuk mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.