Skip to main content

Kerajaan Negeri Rangka Pelan Pemulihan Pasca Covid-19 Bantu Para Usahawan.

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan anak pokok Kelapa Pandan kepada pengunjung di sini, hari ini.

BAGAN DATUK, 27 November 2021- Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) Perak diteruskan lagi dengan memberi fokus kepada para usahawan di daerah Bagan Datuk.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata program kali ini bertujuan untuk menilai dan mendengar maklum balas golongan petani dan usahawan terhadap bantuan dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Ini juga membolehkan saya dan kepimpinan negeri merangka Pelan Pemulihan Pasca COVID-19 bagi membantu para usahawan untuk bangkit kembali,” ujar beliau dalam sesi Townhall Bersama Masyarakat Usahawan, Penjaja, Peniaga Kecil, Petani, Penternak dan Peladang Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk.

YAB Menteri Besar Perak turut mendengar keluhan para usahawan yang menghadapi kesulitan untuk memajukan kembali perniagaan selepas pandemik ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berusaha untuk membantu para usahawan melalui Belanjawan Negeri 2022 yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri akan menampung peruntukan yang tidak disenaraikan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Bajet 2022.

“Contohnya, kita ada menyediakan inisiatif seperti mikro kredit usahawan. Kita tahu yang SME Corporation Malaysia (SME Corp), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pun ada menyediakan inisiatif sama, akan tetapi tidak semua yang memperoleh manfaat.

“Justeru di peringkat kerajaan negeri kita menampung pula dengan menggunakan dana yang ada,” jelas beliau.

YAB Menteri Besar telah melawat 9 perniagaan seperti usahawan kraftangan, penternak dan automotif di sekitar daerah ini malah dianggarkan 15 anak pokok Kelapa Pandan telah diagihkan kepada pengunjung di Dataran Bagan Datuk.

Terdahulu, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi juga telah melaksanakan lebih 95 program yang memanfaatkan 28,752 usahawan pelbagai kategori.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman Bin Datuk Yahya; Ahli Parlimen Bagan Datuk, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti binti Othman dan Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri (STeP), Encik Mohamad Rozlan bin Mohamad Razali.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.