YAB Menteri Besar Perak Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Ke-3.

YAB Menteri Besar Perak bersama-sama YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Media semasa sidang media.
IPOH, 4 Disember 2021- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad telah merasmikan Pembukaan Sidang Dewan Belia Perak, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Dewan Belia Ke-3 yang berlangsung dari 4 Disember 2021 hingga 5 Disember 2021 di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai pengangguran di Perak sekali gus berharap dewan ini menjadi platform kerajaan negeri meningkatkan prestasi belia.
“Menurut statisik Tenaga Buruh Malaysia 2020, kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 12.0 peratus berbanding tahun 2019, 10.5 peratus.
“Turut direkodkan seramai 314 ribu penganggur belia pada tahun 2020 berbanding tahun 2019, 295.8 ribu orang. Manakala, mengikut negeri, Perak menduduki tangga ketiga teratas dengan 4.8 peratus.
“Oleh itu, sidang kali ini amat signifikan dan menjadi pentas terbaik untuk para belia mengetengahkan buah fikiran dan memperdebatkan isu-isu penting serta mendasar. Gandingan idea dari belia dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri, Insya Allah dapat melonjakkan prestasi belia di negeri ini,” ujar beliau.
Persidangan kali ini terdiri daripada 61 orang ahli dewan belia di mana 59 orang ahli dipilih secara undi bagi mewakili dun masing-masing serta 2 orang ahli turut dilantik bagi mewakili masyarakat orang asli dan belia Orang Kurang Upaya (OKU).
Turut berlangsung sesi mengangkat sumpah oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Belia 1, Tuan Aswannudin bin Hariffudin dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Belia 2, Encik Muhammad Ariff Zaky bin Dato’ Hj Mohd Zolkafly serta para Perwakilan Dewan Belia.
Kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Belia akan mempengerusikan dewan kali ini berikutan Yang Dipertua Dewan Belia, YB Jamilah Zakaria tidak dapat hadir kerana sedang menjalani tempoh kuarantin kontak rapat COVID-19.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan YB Pengerusi Jawankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Media, Encik Khairul Shahril Bin Mohamed
Pada masa yang sama, Lantikan Khas Orang Kurang Upaya (OKU), Norfarrah Syahirah bin Shaari, 33, turut berkongsi kepada media, pada persidangan kali ini beliau akan mengusulkan mengenai program sumbangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bersama OKU yang melibatkan para barisan hadapan bagi memperkasakan golongan OKU.
“Program ini melibatkan 6 orang pekerja OKU yang akan menjahit baju PPE sebagai sumbangan kepada hospital-hospital di sekitar Perak.
“Ini adalah salah satu cara bagi melatih kemahiran OKU menjahit serta mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” jelasnya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.