Kerajaan Perak Iktiraf, Hargai Peranan Warga Belia.

YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri menyampaikan ikrar belia kepada wakil GPMS
IPOH, 8 Disember 2021: Kerajaan Negeri Perak sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan di atas peranan serta sumbangan besar warga belia dengan mengadakan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak.
YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed berkata, warga belia telah membentuk hampir 68% populasi tenaga kerja negara dan juga mewakili hampir 47% daripada keseluruhan populasi Keluarga Malaysia.
“Dekad ini, dekad anda, merupakan tema yang sungguh signifikan dan ianya meneruskan legasi sebelumnya agar menjadi pendorong generasi belia Keluarga Malaysia supaya lebih semangat dan komited dalam merencana masa depan.
“Ianya telah menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk berganding bahu bersama golongan belia yang menjadi penyumbang utama kepada hala tuju pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di Dewan Konvensyen, Casuarina@Meru, di sini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Encik Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Encik Aswannudin Hariffudin.
Ujar YB Encik Khairul Shahril Mohamed lagi, sudah hampir dua tahun dunia dan negara berada dalam keadaan pandemik sehingga menyebabkan belia resah dan gelisah memikirkan ujian demi ujian yang datang melanda.
“Ada yang hilang pekerjaan, perniagaan jatuh merudum dan keadaan kehidupan menjadi tidak tentu hala sehingga ada yang mengalami tekanan serta masalah mental.
“Bagi menyelesaikan permasalahan itu, kerajaan cukup prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat amnya dan golongan belia dengan menawarkan pelbagai inisiatif antaranya Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh kerajaan melalui Bajet 2022.
“Bantuan tersebut merupakan antara fokus utama dalam pembentangan Bajet 2022 dan diharapkan dapat mengurangkan beban rakyat termasuk golongan belia yang cukup terkesan akibat penularan wabak COVID-19,” ujarnya lagi.
Terdahulu, YB Encik Khairul Shahril Mohamed yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkesempatan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2021 Peringkat Negeri Perak.
Sebanyak tujuh anugerah khas dan tiga anugerah sedia ada yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan telah disampaikan.
Antaranya Anugerah Khas Belia Kategori Kepimpinan; Kesukarelaan; Keusahawanan; Kemahiran; Kelainan Upaya; Orang Asli serta Penggiat Sukan dan kategori individu lelaki, wanita serta pertubuhan belia
Sumber : Korporat, SUK Perak.