Pusat Penyelidikan Dan Pendidikan Keluarga Malaysia Ditubuhkan Di UPSI.

YAB Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Keluarga Malaysia@Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)
TANJUNG MALIM, 8 Disember 2021: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia bagi menerajui penyelidikan dan mempromosikan konsep keluarga Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat tersebut akan menjadi peneraju penyelidikan dan mempromosikan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
Menurutnya, penubuhan pusat itu di UPSI sesuai dengan jolokan universiti itu sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan.
“Menjadi harapan saya agar pusat ini nanti berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan, latihan dan penyebaran ilmu dalam kalangan warga Malaysia.
“Saya sangat optimis dengan kreativiti, inovasi serta kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai pihak, pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat, mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Keluarga Malaysia@Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; YB Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan YB Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Ujar YAB Dato’Sri Ismail Sabri lagi, warga IPT, khususnya anak muda diseru untuk menghayati teras dan nilai utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
“Sedar atau tidak, kebanyakan masa, khususnya pelajar sekalian berluang masa di kampus dengan rakan-rakan seperjuangan dan juga pensyarah menyerlahkan kebersamaan sebagaimana semangat Keluarga Malaysia.
"Oleh itu, aura Keluarga Malaysia dapat dilakar melalui kerjasama yang harmoni, sikap saling menghormati dan keterbukaan pelajar terhadap perbezaan,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia telah dilancarkan pada 28 Oktober 2021 yang lalu di mana ia bertepatan dengan nilai kebersamaan yang menjadi antara tunjang Keluarga Malaysia.
Selain itu, penubuhan yayasan itu seiring dengan prinsip kerajaan untuk sentiasa memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau terpinggir.
Sumber : Korporat, SUK Perak.