Perak Akan Mengadakan Persidangan Dewan Negeri Pada 10 Disember 2021.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bersama-sama YBrs. Setiausaha Dewan Negeri sidang media khas bagi Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini
IPOH, 7 DISEMBER 2021- Setiausaha Dewan Negeri Perak menerima sekurangnya lima usul yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Negeri Perak, 10 Disember 2021 hingga 20 Disember 2021 ini.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid berkata, antara usul yang akan dibawa adalah usul Rang Undang-Undang Cadangan Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021; Usul Cadangan Pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.
Dua usul lagi iaitu, Usul Melantik Cadangan Penambahan Terma Rujukan dan Bidang Kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan serta Usul Cadangan Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Mengkaji Enakmen-Enakman Negeri Perak Darul Ridzuan.
Malah, Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara juga akan turut dibentangkan pada 20 Disember 2021. Ia susulan terdapat dua kekosongan dalam Dewan Negara.
“Pihaknya telah menerima enam pencalonan bagi mengisi dua kekosongan kerusi berkenaan, namun dua daripada pencalonan tersebut telah melepasi notis tarikh akhir ditetapkan dan telah menarik diri.
“Oleh yang demikian, hanya tinggal empat pencalonan untuk mengisi dua kekosongan kerusi dalam Dewan Negara. Ia membabitkan Bersatu, Amanah, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Barisan Nasional,” jelas beliau dalam sidang media khas bagi Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Tambahnya, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 pada 10 Disember 2021 ini.
Ujarnya lagi, rakyat Perak boleh mengikuti Penstriman Langsung (live streaming) persidangan melalui YouTube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan mengenai penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan dilakukan mengikut garis panduan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak sebagai langkah kawalan pencegahan COVID-19.
“Semua pihak yang berada di Dewan Negeri termasuk petugas dan para media perlu menjalani Ujian Saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) sebelum 10 Disember 2021. Manakala, Ujian Pantas (RTK) Antigen Air Liur akan dilakukan pada waktu pagi, setiap hari dan perlu disahkan negatif sebelum persidangan bermula,” jelasnya.
Hadir sama, YBrs. Setiausaha Dewan Negeri, Encik Muhammad Nazri bin Abdullah
Sumber : Korporat, SUK Perak.