Perak Sasar Perkenal Produk Pelancongan Ke Antarabangsa.

Para tetamu bergambar bersama di Kapal Korek TT5
BATU GAJAH, 9 DISEMBER 2021- Kerajaan Negeri Perak akan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke negeri ini menerusi beberapa produk tarikan pelancong baharu yang diperkenalkan.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, antara produk pelancongan tersebut termasuklah Kapal Korek Warisan Negara iaitu Kapal Korek TT5, Tanjung Tualang Nombor 5 (TT5) dan TT5 Maze Park, Taman Pagar Sesat.
Katanya lagi, produk tersebut juga akan dipromosikan bersama beberapa tarikan lain seperti Kuak Hill Resort, Embun Sahom Gopeng dan produk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) contohnya Gunung Lang.
Tambahnya, beliau bersama beberapa wakil agensi dan jabatan dijangka akan berangkat ke Dubai bermula 26 Disember 2021 hingga 2 Januari 2022 bagi mengetengahkan produk-produk pelancongan ini melalui ekspo Dubai yang akan diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Kapal Korek TT5 dan TT5 Maze Park.
Terdahulu, pihak kerajaan negeri telah menerima kunjungan delegasi dari Jerman yang secara tidak langsung telah mempromosikan negeri ini kepada kedutaan Eropah yang lain.
“Lawatan delegasi ini kemudiannya telah menghubungi YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim untuk membuat temu janji berkunjung ke Perak pada bulan Mac 2022,” ujar beliau.
Sehubungan itu, lawatan beliau ini adalah untuk mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan pembangunan dan pemuliharaan kapal korek yang menjadi ikon perlombongan bijih timah di Geopark Kebangsaan Lembah Kinta selain perancangan pembangunan dalam tempoh 10 tahun lagi.
“Saya percaya akan ada lagi usaha untuk menambah baik yang masih boleh dilakukan sebagai usaha untuk menarik pengunjung domestik mahupun antarabangsa. Pengunjung tempatan akan turut berminat untuk datang ke sini kerana kelainan sejarah yang dibawa.
“Uniknya, kapal korek di Perak ini adalah satu-satunya yang masih ada di dunia,” jelasnya.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Binti Dato’ Mohammed Radzi; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah binti Sipun yang juga merangkap sebagai Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Encik Anuar Zainal bin Abidin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.