Perak Peruntuk RM1.1 Bilion Belanjawan 2022.

YAB Menteri Besar Perak menunjukkan buku Belanjawan 2022 Negeri Perak.
IPOH, 10 Disember 2021: Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion bagi Belanjawan Perak 2022.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.06 bilion.
“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan, Belanjawan 2022 Perak dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50 juta,”
“Selain itu, bagi belanja mengurus ia terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekslan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta, serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2022 yang bertemakan “Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif” di Dewan Negeri Perak di sini.
Menurut YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, bagi mengukuhkan strategi merancakkan semula ekonomi negeri, dana pembangunan tambahan melalui Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM47 juta telah disediakan.
Tambahnya, dana itu akan digunakan untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera (PRE Perak Sejahtera).
“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan peruntukan dan dana bagi maksud pembangunan negeri pada tahun hadapan adalah RM349 juta,” tambahnya.
Ujar beliau lagi, Belanjawan Perak 2022 juga akan didukung oleh komitmen kewangan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat secara langsung dalam program-program kesejahteraan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian dan keusahawanan.
“Dalam situasi rakyat berdepan waktu-waktu sukar untuk bangkit daripada krisis kesihatan yang hampir dua tahun menghimpit kehidupan, peranan GLC sangat diperlukan supaya keuntungan yang dijana dapat dikongsi demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Oleh itu, bagi tahun 2022, kerajaan negeri telah menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan negeri kekal teguh untuk mengharungi bulan-bulan mendatang yang ketidaktentuan tanpa mengabaikan tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara.
“Lima fokus itu ialah Menjana Semula Ekonomi dan Mengupayakan Sara Diri Rakyat; Memakmur dan Mensejahterakan Rakyat; Mengukuhkan Modal Insan dan Pembangunan Sosial; Memantapkan Tadbir Urus dan Pendigitalan; dan Memulihara Khazanah Alam Sekitar,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, melalui belanjawan itu juga, kerajaan negeri telah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 kepada setiap penjawat awam di negeri Perak.
Ia merupakan tanda penghargaan kepada penjawat awam negeri yang setia bersama-sama mengharungi COVID-19.
Sumber : Korporat, SUK Perak.