Skip to main content

Atlet Negeri Perak Terima Insentif Kewangan Kerajaan Negeri.

YAB Menteri Besar Perak menerima penghargaan Jersi daripada Presiden Persatuan Hoki Perak

IPOH, 15 Disember 2021- Kerajaan Negeri Perak melalui Majlis Sukan Negeri Perak telah menyampaikan insentif kemenangan dan kecemerlangan sukan kepada tiga penerima yang telah membawa nama negeri Perak ke persada dunia.

Pasukan Hoki Lelaki Negeri Perak menerima insentif sebanyak RM100,000 atas kejayaannya menjuarai Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-59 2021.

Selain itu, atlet Orang Kelainan Upaya (OKU), Cheah Liek Hou menerima insentif sebanyak RM25,000 atas kejayaan merangkul Pingat Emas dalam Sukan Badminton di Temasya Sukan Paralimpik 2020.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat (SMKGR) sebanyak RM3,000 sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah.

“Kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada para atlet serta pihak SMKGR yang mengharumkan nama negeri ini.

“Antaranya adalah Muhammad Azeem bin Mohd Fahmi yang mencatat 21.24 saat dalam acara 200m di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor 2019 yang meletakkannya sebagai remaja terpantas dunia.

“Sekolah ini juga lahirkan Nur Amisha binti Azril Rizal, juara Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Bangkok, Thailand 2016,” jelas YAB Menteri Besar Perak.

Dalam perkembangan sama, SMKGR telah dijadikan sebagai pusat latihan bagi acara pecut kebangsaan apabila jurulatih, Mohd Poad bin Md. Kassim serta dua atlet pecut iaitu Khairul Hafiz bin Jantan dan Muhammad Haiqal bin Hanafi meneruskan latihan mereka di negeri ini.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril bin Mohamed; Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Encik Johari Sham bin Ahmad Shohor Affendi; Pengetua SMKGR, Encik Ahmad Haridan bin Mohammed serta Presiden Persatuan Hoki Perak, Sayuti bin Abd Samat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.