YB Speaker Zahir Penghargaan Semua ADUN, Petugas Jayakan Sidang Dewan Negeri Perak Ke-14.

YB Speaker Dewan Negeri Perak ketika Persidangan Dewan Negeri Perak Ke-14
IPOH, 20 Disember 2021- Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-14 telah berjaya dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang penularan wabak COVID-19.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Bin Dato’ Abdul Khalid berkata, pada persidangan kali ini Belanjawan Negeri Perak telah berjaya dibentangkan oleh YAB Menteri Besar, dibahaskan oleh ahli-ahli dewan dan kemudiannya diluluskan secara sebulat suara pada 17 Disember 2021, iaitu hari keenam persidangan.
“Pada hari terakhir persidangan pula, Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) (Pindaan) 2021 telah pun diluluskan juga dengan sebulat suara. Begitu juga, dengan Usul Cadangan Pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak, Usul Cadangan Penambahan Terma Rujukan dan Bidang Kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan telah dapat disempurnakan.
“Selain itu, satu Jawatankuasa Pilihan Khas telah diwujudkan iaitu, Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen- Enakmen Negeri Perak dan ia pertama kali diwujudkan oleh Dewan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dewan Negeri Perak.
Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir lagi, beliau mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua kerana telah berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Terima kasih kepada semua ahli-ahli dewan kerana telah berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan perjalanan persidangan pada 10 hingga 20 Disember 2021 dapat dilaksanakan dengan sempurna, tanpa berlakunya sebarang insiden jangkitan COVID-19.
“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih dalam setiap usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak dan semua petugas yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Persidangan Dewan Negeri Perak,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, pada hari terakhir persidangan, turut dijalankan urusan pemilihan dua (2) orang Ahli Dewan Negara Malaysia yang mewakili Negeri Perak Darul Ridzuan.
Melalui undian secara bersurat yang telah dijalankan, YBhg. Dato’ Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan YBhg. Dato’Shamsuddin Abd Ghaffar telah mendapat undian tertinggi bagi mengisi dua (2) kekosongan tersebut.
Sumber : Korporat, SUK Perak.