Pangkor International Boat Show 2022 Pemangkin Sektor Pelancongan Perak Tahun Hadapan.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian
IPOH, 21 Disember 2021- Pangkor International Boat Show bukan sahaja akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan melalui penganjuran acara bertaraf antarabangsa, malah mampu meningkatkan sosio-ekonomi selain menonjolkan keunikan ciri-ciri sosial dan budaya masyarakat setempat.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, pasaran global bagi industri marin di peringkat global kini sudah mencecah RM147 bilion setahun dan Perak sebagai negeri yang mempunyai kapasiti yang baik dalam sektor pelancongan sewajarnya merebut peluang keemasan ini.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri melihat potensi Pangkor International Boat Show 2022 sebagai platform perniagaan terkemuka dengan kualiti dan nilai yang baik untuk keseluruhan industri bot selain menyediakan persekitaran perniagaan profesional untuk pempamer dan pembeli di seluruh dunia.
“Difahamkan, pameran antarabangsa yang akan diadakan pada 19 hingga 23 Oktober 2022 ini akan membawa pempamer dari lebih 20 negara terdiri daripada pemilik, pembuat, pengedar alat ganti dan rangkaian pengeluar aksesori rantaian industri marin termasuk sektor rekreasi seperti aktiviti sukan air, scuba diving, memancing dan jet ski,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan program Majlis Pra Pelancaran Pangkor International Boat Show 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan serta YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Encik Khairul Shahril Mohamed.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, selain pameran bot, pelbagai pengisian acara lain sedang dirancang bagi memeriahkan lagi Pangkor International Boat Show 2022 antaranya, demontrasi penangkapan penjenayah di laut, demonstrasi oleh pasukan paskal, pameran aset TLDM, seminar berkaitan pengendalian bot dan penyediaan one stop check point oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk pempamer yang belayar ke lokasi pameran.
“Penganjuran kesemua acara ini akan sekaligus meletakkan negeri Perak sebagai antara negeri yang akan mengisi serta memeriahkan kalendar acara maritim Malaysia selain Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Hari Armada Malaysia.
“Saya juga dimaklumkan bahawa acara yang diadakan hasil kolaborasi antara Tourism Perak, Pertubuhan Usahawaniaga Perak dan Eagle Swipe Global Sdn Bhd ini dijangka mampu menggamit kehadiran lebih 60 ribu pengunjung dari dalam dan luar negara,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, penganjuran pameran tersebut juga akan didukung oleh kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Majlis Perbandaran Manjung, Polis Diraja Malaysia Negeri Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak serta agensi-agensi lain yang berkaitan.