Sektor Pelancongan Perak Tawar Lebih 2,500 Peluang Pekerjaan Serta Latihan.

YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan bergambar bersama tetamu yang hadir
IPOH, 5 JANUARI 2022- Sektor pelancongan Perak menawarkan lebih 2,500 peluang pekerjaan pada program Karnival Kerjaya & TVET Daerah Larut Matang & Selama yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Taman Kaya, Taiping pada 8 Januari 2022, Sabtu ini.
Program anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bersama Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Tourism Malaysia Wilayah Utara dan Tourism Perak ini adalah untuk menampung kekurangan pekerja terutama bagi sektor pelancongan di Perak yang terjejas semasa pandemik COVID-19.
YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Binti Dato’ Mohammed Radzi berkata isu kekurangan pekerja ini menjadi cabaran yang amat dirasai bagi pemain industri setelah pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan.
“Ini adalah kerana ramai para pekerja sebelum ini telah beralih kepada kerjaya lain serta menjadi usahawan kecil.
“Memandangkan ramai pekerja asing juga telah pulang ke negara masing-masing, maka, ini merupakan satu kelompongan kerjaya terutama bagi warga tempatan,” katanya semasa sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Tambahnya lagi, kerjaya di bidang ini merupakan pekerjaan yang murni kerana ia dapat menaikkan ekonomi setempat dan negara. Malah, ia dapat memberi peluang kepada warga tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri melalui PASAK serta agensi berkaitan juga merancang untuk memberi galakan dan latihan yang khusus samada dari segi ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ bagi mereka yang berminat dalam bidang ini.
Sementara itu, Pengurus Besar PASAK, Mohamad Fikri Mohd Junit berkata, Karnival Kerjaya & TVET akan diadakan di semua 12 daerah di Perak.
Turut hadir, Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udanis; Ketua Perkhidmatan, Pelabuhan NCER, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCER), Muhammad Zaki Mohd Saman dan MITA Negeri Perak, Encik Hisham Yusof.
Sumber : Korporat, SUK Perak.