Kunjungan Hormat Delegasi Fakulti Keusahawanan Dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Tetamu yang hadir turut mengambil kesempatan untuk bergambar bersama.
IPOH, 13 Januari 2022- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hari ini.
Kunjungan hormat itu telah disambut oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Haslinda binti Alias yang mewakili YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman.
Ia bertujuan bagi saling berkongsi ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan serta pentadbiran.
YBhg. Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof. Dr. Roselina binti Ahmad Saufi, selaku ketua delegasi tersebut turut memperkenalkan beberapa kursus pengajian berkaitan kepada pihak SUK Perak.
Antaranya Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan serta Program Kepimpinan Korporat.
Menurutnya, Program Kepimpinan Korporat adalah program kursus jangka pendek yang melibatkan tiga heliks kerangka iaitu UMK, Industri dan Universiti Antarabangsa (Netherlands, Sweeden atau Switzerland).
Matlamat utama program yang ditawarkan ini adalah bagi menyediakan golongan profesional dan pengurusan tertinggi menjadi peneraju masa depan dalam kepimpinan kehadapan dan seterusnya membangunkan minda global.
Ia memberi peluang kepada golongan profesional untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran serta membangunkan kemahiran kepimpinan kritis dan pemikiran holistik.
Turut hadir, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita (SPW), Puan Srihartini binti Mohamed Shamsudin; Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Encik Mohamad Iqram bin Zainal; Penolong Pengarah, Sekretariat Usahawan Negeri Perak, Encik Wan Muhammad bin Wan Mohd Isa dan Pegawai Khas Pentadbiran, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Tuan Syed Mohamad ‘Amiruddin bin Syed Bekari.