Skip to main content

Sungai Siput Lokasi Pertama Pelancaran Program Bas Perak Sejahtera.

YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam bergambar bersama tetamu yang hadir.

SUNGAI SIPUT, 16 Januari 2022- Kerajaan Negeri Perak telah peruntuk RM2.1 juta bagi menjalankan Program Bas Perak Sejahtera di 4 daerah seluruh negeri ini.

Lokasi pertama yang menjadi pilihan adalah Sungai Siput manakala Taiping, Manjung dan Tapah akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Pemilihan Sungai Siput bagi inisiatif ini amat dihargai oleh seluruh warganya dan ia akan memudahkan urusan seharian lebih dari 15 ribu penduduk dari Bawong hingga ke Karai,” ujar YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata demikian semasa merasmikan Program Bas Perak Sejahtera Sungai Siput Tahun 2022 di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Bawong, di sini.

Tambahnya, perkhidmatan tersebut turut melibatkan dua laluan masing-masing sejauh 20 kilometer, iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput-Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong.

“Terdapat 20 hentian meliputi institusi pendidikan, pusat komuniti, fasiliti kesihatan, pekan serta kampung dan penempatan Orang Asli.

“Perkhidmatan yang hanya mengenakan bayaran serendah RM1 bagi perjalanan sehala ini akan bermula pada jam 6.30 pagi sehingga 7.30 malam bermula esok,” jelas beliau.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan memperluaskan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ke beberapa kawasan lain seperti Kamunting dan Chenderiang.

Jelasnya, kawasan-kawasan yang dipilih bagi perkhidmatan bas tersebut berdasarkan permintaan komuniti dan kajian yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sebelum diluluskan.

Pada masa yang sama, YB Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun turut berkesempatan melancarkan Pasar Tani Orang Asli yang hanya berhadapan dengan OAOSC, Bawong, Sungai Siput ini.

Buat masa ini, sebanyak 18 buah gerai telah beroperasi di mana para peniaganya adalah penduduk Orang Asli di sekitar sini.

Turut hadir, YBrs. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Tuan Zambri bin Mustajap; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Tuan Zulqarnain bin Mohamad; Timbalan Pengarah Sektoral, UPEN, Encik Kumaresan A/L Lingam dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Encik Mohd Azhar bin Alias.  

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.