1,000 Sertai Larian Baton Komanwel.
YB Menteri Belia dan Sukan bersama YB Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia bergambar bersama Queen’s Baton Relay
IPOH, 22 JANUARI 2022- Seramai 1,000 orang telah menyertai Larian Baton Komanwel bersempena Queen’s Baton Relay Commonwealth Games 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi.
Menurut YB Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Sukan Komanwel Birmingham, England 2022 dijadualkan berlangsung pada 28 Julai 2022 hingga 8 Ogos 2022 dengan penyertaan 72 negara dan Malaysia merupakan negara ke-29 yang menjadi persinggahan Queen’s Baton Relay.
Larian sejauh 5km turut disertai oleh Wakil TYT Pesuruhjaya Tinggi British, Kaunselor Politik (Dalaman) di Malaysia, Tuan Tom Shepherd selaku pemegang baton pertama.
Hadir sama, YBhg. Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Jana Santhiran Muniayan dan YB Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Dato’ Shahrul Zaman bin Datuk Yahya merangkap Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Malah, seramai 9 orang atlet telah dipilih sebagai pemenang baton.
Antaranya, Loo Kum Zee (Bekas Atlet Olahraga Kebangsaan), Siti Zalina Ahmad (Atlet Boling Padang Kebangsaan), Karen Lyne (Atlet Pingpong Kebangsaan), Izzat Shameer Dzulkeple (Atlet Boling Padang Kebangsaan), Auni Fathiah Kamis (Atlet Boling Padang Kebangsaan), Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (Atlet Olahraga Para Kebangsaan), Nur Amisha Azrilrizal (Atlet Muay Thai Perak), Mohammad Rifdean Masdor (Atlet Muay Thai Perak) dan Nur Fidrah Noh (Atlet Boling Padang Kebangsaan).
Selain daripada acara larian, program turut dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik perdana, cabutan bertuah dan pameran daripada agensi dibawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
YB Menteri Belia dan Sukan berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan para atlet yang akan bersaing nanti.
“Tentunya, kita ingin lakukan yang lebih baik daripada Sukan Komanwel 2018, Gold Coast, Australia. Terdahulu, kita telah berjaya meraih tempat ke-12 dengan 7 Emas, 5 Perak dan 12 Gangsa iaitu 24 pingat secara keseluruhannya,” ujar beliau.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.