Skip to main content

Perak Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Masalah Sahabat AIM

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Negeri Perak

IPOH, 5 Februari 2022 – Kerajaan Negeri Perak akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani masalah yang dihadapi usahawan atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang teruk terkesan ekoran pandemik COVID-19.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa yang akan dianggotai pelbagai agensi seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak (STeP), Bahagian Khidmat Pengurusan SUK Perak dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 17 Februari depan.

“Hampir kesemua rungutan dan masalah yang diutarakan oleh usahawan AIM adalah sama dan perkara paling utama yang dibangkitkan ialah mereka ini memerlukan tempat bagi mengadakan mesyuarat mingguan.

“Terdapat juga rungutan diterima mengenai kesukaran mendapat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), kerumitan untuk mengisi borang tertentu untuk dapatkan pinjaman, kawalan kepada harga barang mentah kerana sebahagian besar usahawan terlibat dalam industri makanan," katanya

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program Bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Laman Seri Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Zainol Fadzi Paharuddin serta YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Mohamed.

Dalam majlis itu, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkesempatan untuk menyampaikan Anugerah Sahabat AIM Perak kepada 10 penerima, menerima cek pinjaman AIM Perak berjumlah RM177 juta di samping merasmikan Sistem Maklumat Database Usahawan Negeri Perak (Perak SME-D Base).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.