Kerajaan Negeri Pertimbang Cadangan Wujud Galeri Khas Khazanah Seni Negeri

YAB Menteri Besar Perak bergambar bersama tetamu yang hadir.
IPOH, 5 Februari 2022- Kerajaan Negeri Perak akan mempertimbangkan cadangan untuk menempatkan karya seni bertemakan Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di sebuah galeri khas di sini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad berkata, karya yang mengetengahkan kawasan di Lembah Lenggong khususnya dan Perak amnya itu dapat dijadikan khazanah berharga untuk negeri ini.
“Kita mempunyai galeri di belakang Dewan Bandaraya Ipoh (DBI) dan saya akan melihat semula kerana sebelum ini kita ada satu kolaborasi dengan Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di mana mereka telah membangunkan semula Ipoh Padang dan Perpustakaan Tun Razak iaitu kawasan berhampiran.
“Jadi, kalau NCIA boleh bersama-sama menjadikan galeri itu untuk tempatkan segala khazanah seni ini, itu bagus dan kita akan buat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Pameran Seni Visual ‘Perak Man Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail’ di Hotel Casuarina@Meru di sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pelukis Perak (PPPk), Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim, Encik Salleh Ismail dan para pelukis yang terbabit dalam Perak Man Art Trail.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, terjemahan lokasi bersejarah dalam bentuk karya seni itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke negeri Perak.
“Saya akan minta YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi untuk melakukan perbincangan secara lanjut supaya hasil karya ini dapat kita simpan sebagai khazanah negeri untuk ditatap oleh generasi akan datang.
“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada setiap agensi yang bekerjasama termasuklah Tourism Perak, Balai Seni Negara dan Lembaga Muzium Negeri Perak, ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Pameran Perak Man Art Trail mengumpulkan seramai 30 orang pelukis tempatan antaranya A Malik Zainal Abidin, Roslinda Wahab, Aris Aziz, Raduan Norudin, Oh Chow Moy dan Raja Shahriman.
Manakala, Pameran Solo Ismail Salleh menceritakan mengenai anak kelahiran Lenggong yang hampir setengah dekadnya dalam bidang seni, seterusnya dipersembahkan dalam 50 karya lukisan.
Sumber : Korporat, SUK Perak.