Skip to main content

Hari Bertemu Pelanggan, Peluang Rakyat Luah Masalah Bersemuka

YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato' Haji Mohd Zolkafly bin Harun tekun melayani pelanggan yang mengadu masalah kepadanya

IPOH, 8 Februari 2022 – Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak yang berlangsung di Stadium Indera Mulia hari ini membuka peluang rakyat untuk meluahkan masalah secara bersemuka kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Program yang dihadiri oleh YAB Menteri Besar Perak, Ex-Officio, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta semua ketua jabatan ini bertujuan untuk mendengar, meneliti dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat secara bersepadu.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata program ini melibatkan 151 jabatan dan agensi kerajaan di negeri Perak yang merangkumi 110 kaunter khidmat pelanggan, 33 reruai atau ‘booth’ pameran serta 8 perkhidmatan kaunter bergerak. Tambahnya lagi, program ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

 “Seramai 562 orang hadir, 176 daripadanya bertemu secara bersemuka dengan anggota kerajaan bagi menyatakan masalah dan aduan yang dihadapi manakala yang lain dapat diselesaikan di kaunter-kaunter yang telah disediakan di sini.

“Langkah ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk merakyatkan sistem penyampaian awam supaya perkhidmatan yang diberi sentiasa melangkaui jangkauan dan harapan rakyat," jelasnya.

Antara masalah dan aduan yang diterima adalah mengenai isu berkaitan urusan tanah, kewarganegaraan, anak angkat dan pelbagai permohonan.

Tambahnya, terdapat juga beberapa masalah yang berjaya diselesaikan terus terutama melibatkan implikasi kewangan kecil yang penting seperti masalah banjir, longkang, pembinaan surau dan sebagainya.

Beliau berharap program ini akan terus dilaksanakan iaitu pada hari Selasa minggu kedua setiap bulan di lokasi yang sama untuk memberi kesempatan dan peluang kepada lebih ramai rakyat perak hadir bersemuka sendiri dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Puan Anita binti Amri selaku urusetia program ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.