Bandaraya Ipoh Bakal Menjadi Bandar Rendah Karbon, Walkable City Menjelang 2030.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyaksikan sesi menandatangani MOU.
IPOH, 9 Februari 2022 - Bandaraya Ipoh bakal menjadi Bandar Rendah Karbon dan Walkable City menjelang tahun 2030.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mempunyai kuasa dalam perancangan bandar perlu mempunyai pelan khusus dalam merangka pembangunan masa depan.
“Kerjasama dengan agensi kerajaan lain perlu disinergikan agar perancangan bandar mengambil kira konsep pembangunan lestari.
“Sehubungan itu, saya amat menghargai komitmen MBI yang kini dalam fasa untuk memulakan pelaksanaan Ipoh ke arah Bandaraya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 yang mana kedua-dua dokumen ini adalah komponen di bawah Pelan Perancangan Strategik MBI.
“Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon diseluruh negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh, Ipoh Bandaraya Rendah Karbon dan Ipoh Walkable City.
Hadir sama dalam majlis tersebut, YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly Harun; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin; Pengurus Besar TNB Negeri, YM Raja Dato Abd. Jalil Raja Zaid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maju Perak, Encik Nizran Noordin.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, mengenai Walkable City atau bandar pejalan kaki, ia akan disediakan di kawasan khas Pekan Ipoh, selaras dengan Bandar Pelancongan Warisan, dimana terdapat pelbagai rumah kedai lama, bangunan warisan dan beberapa lorong belakang seperti Lorong Panglima, Market Lane serta Lorong Hale yang telah dijadikan lorong pejalan kaki dan berbasikal serta pelbagai aktiviti menarik dalam usaha mencapai status karbon neutral suatu masa nanti.
“Objektif pelan tindakan ini adalah untuk menambah baik kawasan persekitaran dengan menyediakan kemudahan laluan pejalan kaki dan laluan basikal yang kondusif, mencukupi dan berkesinambungan bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti alternatif kepada komuniti setempat.
“Ia juga mengekalkan nilai warisan bandar di samping menyokong pertumbuhan pembangunan yang mementingkan alam sekitar, teknologi hijau dan rendah karbon bagi meningkatkan nilai tambah dan daya tahan bandar.
“Selain itu, ia menghidupkan semula Bandaraya Ipoh dengan merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan interaksi masyarakat dengan persekitaran,” ujarnya lagi.
Pada majlis itu, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut mengumumkan slogan "Ipoh Bestari Sejahtera" bagi menggantikan "Ipoh Bersih Hijau dan Maju" selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 iaitu 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera'.