Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berangkat Ke Majlis Penutup Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak

Pemenang qari terbaik ketika membacakan ayat suci Al-Quran

IPOH, 23 Mac 2022 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 1443H/2022M yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin lepas di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Turut mengiringi baginda, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini serta YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop Haji Husin.

Pada majlis tersebut, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyempurnakan hadiah kepada johan qari dan qariah negeri kepada Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan Nurul Syafiqah Nardi.

Kedua-dua pemenang tersebut masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, plak, sijil, hadiah iringan serta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Naib johan qari dimenangi Mohamad Sahran Termizi dan Mohd Kamaruzaman Daud di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Munirah Razali dan Norhazira Nabila Mohamed Kamel di tempat ketiga.

Naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta plak dan sijil.

Bagi kategori hafazan pula, Amril Syariff Ahmad muncul johan qari bagi kategori 1-30 juzuk manakala qariah hafazan pula di menangi Adibah Husni Ahmad Rozaini.

Dalam perkembangan sama, kesemua pemenang pertandingan tilawah dan hafazan kali ini akan mewakili negeri Perak ke Pertandingan Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Johor pada Jun depan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.