Sidang DUN Perak Akan Bermula Pada 28 Mac Ini

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bersama YBrs. Setiausaha Dewan Negeri ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini
IPOH, 25 Mac 2022 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenankan supaya Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Negeri Yang Ke-14 Perak bersidang pada 28 Mac ini.
DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat mengiringi baginda ke Istiadat Pembukaan Rasmi tersebut.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
“DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah berkenan untuk mencemar duli, berangkat menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan itu pada 28 Mac kira-kira jam 10 pagi tanpa acara perbarisan dan menzahirkan titah Diraja.
“Kemudian, pada 29 Mac, Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan akan turut dibawa dan dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
“Untuk makluman, sesi soalan lisan akan berlangsung pada persidangan kedua dan ketiga dalam tempoh selama satu jam. Seramai 20 orang ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan Usul tersebut iaitu sembilan orang Ahli Yang Berhormat Kerajaan termasuk penyokong kerajaan.
“10 orang Ahli Yang Berhormat Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang dan seorang Ahli Yang Berhormat Bebas,” jelasnya.
Jelasnya lagi persidangan terpaksa dipendekkan kepada tiga hari iaitu dari 28 Mac sehingga 30 Mac ini meski pun terdapat pelbagai agenda yang perlu diusul dan dibincangkan.
“Keputusan itu dibuat susulan negara masih berada dalam fasa pandemik selain menerima nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambahnya lagi, orang ramai boleh mengikuti persidangan ini secara langsung melalui saluran Youtube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Hadir sama, YBrs. Setiausaha Dewan Negeri, Encik Muhammad Nazri bin Abdullah
Sumber : Korporat, SUK Perak.