Prestasi Penjawat Awam Penting Bagi Mengekalkan Kepercayaan Rakyat

YB Setiausaha Kerajaan Negeri merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 dan Apresiasi Pesara Tahun 2022 bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak
IPOH, 25 Mac 2022 – Penjawat awam memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar dan pembangunan negara. Malah, ia seharusnya diselaraskan dengan tanggungjawab dan amanah supaya tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan tidak terjejas.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 dan Apresiasi Pesara Tahun 2022 bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Kelab Golf Diraja Perak.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 50 orang pegawai dan kakitangan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, bagi tahun 2021 serta penghargaan dan terima kasih atas khidmat bakti 16 orang pesara.
“Walaupun telah bersara, saya percaya anda masih mempunyai kepakaran, semangat serta kesungguhan untuk terus menabur bakti kepada masyarakat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Kepada yang masih dalam perkhidmatan, harapan saya agar semangat dan komitmen dalam diri dapat dikekalkan dan ditingkatkan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri turut menyaksikan YBhg. Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Dato’ Mohamed Zin bin Yusop menandatangani memorandum jalinan kerjasama dengan Yayasan Hasanah dalam meningkatkan peranan memulihara alam sekitar.
Pengarahnya berkata kerjasama di bawah Yayasan Hasanah ini melibatkan dua projek pengurusan Hutan Simpanan Kekal.
“Projek pertama dikendalikan oleh Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) yang memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi 18 bulan.
“Ia bertujuan untuk menghindari aktiviti pemburuan haram terutama harimau dari memasuki Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor melalui penubuhan Pasukan Peronda Hutan yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang terlatih dan berkelengkapan.
“Pasukan yang berpangkalan di Hutan Simpan Amanjaya (PL2) juga merupakan jalinan ekologi di dalam Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) Negeri Perak.
“Manakala, bagi projek kedua pula adalah projek pemuliharaan Hutan Simpan Piah yang dikendalikan oleh Free Tree Society. Ia melibatkan peruntukkan sebanyak RM220,000 hingga RM250,000 bagi 12 bulan.
“Projek kedua ini adalah salah satu jalinan ekologi yang kritikal untuk masyarakat dan biodiversiti melalui program tanaman pokok di kawasan terosot yang turut melibatkan pemegang taruh termasuk penduduk setempat dan komuniti orang Asli di daerah Kuala Kangsar,” jelasnya semasa berucap di majlis itu.
Sumber : Korporat, SUK Perak.