Skip to main content

Penjawat Awam Ikhlas Menjalankan Tanggungjawab Kepada Rakyat.

Timbalan Mufti Negeri Perak, YBhg. Dato’ Zamri Hashim mendahului senarai penerima anugerah

IPOH, 1 April 2022 – Penjawat awam perlu berkhidmat sebaik mungkin menjalankan tanggungjawab bukan semata-mata untuk menerima anugerah tetapi ikhlas berkhidmat kepada rakyat.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

“Anugerah yang kita dapat pada hari ini adalah pembakar semangat untuk kita terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kerana yang penting bagi kita bukanlah anugerah ini tetapi keikhlasan kita untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada kerajaan dan negeri.

“Sikap ini perlu dijadikan amalan supaya semua penjawat awam berlumba-lumba untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” jelasnya semasa berucap di majlis itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 58 orang penjawat awam yang terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021.

“Saya percaya, penganugerahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan semata-mata, tetapi adalah usaha bersama untuk membudayakan kecemerlangan secara menyeluruh sama ada dari aspek pengurusan dan penyampaian perkhidmatan agar kita dapat menjalankan tugas yang cemerlang kepada seluruh rakyat.

“Ini kerana, apa pun pangkat dan jawatan yang disandang, kita semua ada peranan penting dalam melaksanakan amanah serta menjaga nama baik jabatan dan agensi yang kita naungi,” katanya lagi.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut berharap anugerah yang diterima ini, dapat menjadi pemangkin kepada hasil dan kualiti kerja pada masa hadapan.

“Penjawat awam di SUK Negeri Perak ini bagaikan sebuah keluarga besar dan ia merupakan nadi kepada pentadbiran negeri dalam merealisasikan harapan atau amanat yang digarap oleh YAB Menteri Besar Perak dalam menjadikan Perak sebagai negeri yang pesat membangun dan untuk mengekalkan hubungan yang erat sebagai sebuah keluarga bukannya mudah, namun ia mampu dijalinkan dengan baik jika dilakukan dengan niat yang betul,” ujar beliau.

Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.