Skip to main content

Perak Negeri Pertama Lancar Dasar Pembangunan Sukan OKU.

YAB Menteri Besar Perak ketika berucap di majlis pelancaran itu yang turut diiringi oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia

IPOH, 6 April 2022 – Sebanyak RM700,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Majlis Sukan Negeri Perak untuk melaksanakan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) sekali gus muncul sebagai negeri pertama melaksanakan dasar itu.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, dasar ini melibatkan enam strategi iaitu memperkukuhkan struktur pentadbiran atlet para negeri Perak dan memperkasakan program pembangunan atlet para.

Strategi ketiga adalah memantapkan sistem kejurulatihan dan kepegawaian serta pelaksanaan penganjuran dan penyertaan kejohanan.

Seterusnya, menyediakan kemudahan dan fasiliti sukan serta meningkatkan kerjasama strategik antara agensi.

Beliau berharap usaha ini dapat menyediakan fasiliti yang lebih kondusif untuk pembangunan sukan bagi golongan OKU.

“Ada sebahagian daripada fasiliti-fasiliti sukan kita kelihatan tidak mesra OKU, jika kita nak buat fasiliti yang berasingan, ia akan menambah perbelanjaan. Maka, kita gunakan pendekatan ini iaitu di tempat yang sama, kita turut menyediakan fasiliti yang mesra kepada OKU,” jelasnya lagi kepada pemberita semasa merasmikan pelancaran dasar tersebut.

Pada masa sama, turut berlangsung Pelancaran Program Belia Perak Bertadarus.

YAB Menteri Besar Perak berkata, sebanyak 18 Majlis Belia Daerah di seluruh negeri terlibat dalam program ini.

“Kemuncaknya adalah Majlis Khatam Al-Quran yang mengumpulkan seramai 180 peserta tadarus di setiap peringkat Majlis Belia Daerah,” ujar beliau ketika berucap semasa merasmikan program tersebut.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Encik Khairul Shahril Mohamed; Ahli Dewan Undangan (ADUN) Trong, YB Jamilah Zakaria yang juga merangkap sebagai Speaker Dewan Belia; Timbalan Pengarah MSN Perak, Tuan Haji Mazlan Mohamad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Encik Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.