Skip to main content

Kelab Kesedar Mampu Mengeratkan Silaturahim, Perkasakan Keperibadian Diri.

YB Setiausaha Kerajaan menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

IPOH, 14 April 2022- Keterlibatan ahli Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) dalam pelbagai program yang dilaksanakan dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli selain memperkasakan keperibadian yang baik dari aspek sudut pandang, kesihatan mahupun jiwa insani.

Yang Dipertua KESEDAR, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, gunakan peluang yang ada sebagai satu inisiatif untuk mengalihkan sejenak perhatian daripada tugasan hakiki di pejabat.

“Moga-moga ia mampu membantu dalam pengurusan tekanan dan kesihatan secara menyeluruh, terutamanya dalam mengadaptasi norma baharu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Selain itu, cabaran untuk aktif berpersatuan tanpa mengganggu prestasi tugasan hakiki bolehlah diibaratkan seperti meredah ombak badai di lautan luas kerana di dalam mengemudi sebuah kapal yang besar, aspirasi dan inspirasi sang nakhoda perlulah sama difahami seluruh warga kapal dan disusuli pelaksanaan bersungguh dan berterusan dari segenap anak kapal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan perutusan sempena Mesyuarat Agung KESEDAR Kali Ke-26 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua KESEDAR, YBhg. Dato’ Norsham Rahman dan YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun.

Ujar YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim lagi, diharapkan seluruh ahli KESEDAR dapat duduk bersama dalam melakukan perancangan dan menggerakkan semua daya dalam menjayakan setiap matlamat program yang dirangka.

“Semua ahli punya peranan besar untuk dilaksanakan, maka terlibatlah dengan penuh jiwa, dan bersinsing lenganlah bersama, agar hasilnya nanti dapat juga kita tuai bersama.

“Dari pemerhatian saya, program-program yang telah dilaksanakan sebelum ini ternyata banyak memberi impak positif dan memenuhi objektif untuk memupuk semangat persahabatan dan persefahaman di antara ahli-ahli tanpa mengira pangkat.

“Sehubungan itu, segala hasrat, perancangan dan aktiviti anjuran KESEDAR selepas ini haruslah berdaya saing dan bercitrakan kreativiti dan inovasi agar dapat menjadi platform setiap ahli terus mempertingkatkan ilmu dan keupayaan diri masing-masing,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, kemeriahan Mesyuarat Agung KESEDAR Kali Ke-26 tetap dirasai walaupun diadakan semasa Bulan Ramadan.

Dengan sambutan yang baik daripada kalangan ahli-ahli KESEDAR, majlis turut diserikan lagi dengan acara cabutan bertuah kepada ahli yang hadir pada mesyuarat tersebut.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.