RM1.58 Juta Diperuntuk Bagi Membantu Mangsa Bencana Ribut Di Sekitar Perak.

YAB Menteri Besar Perak menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa bencana ribut.
IPOH, 27 April 2022- Kerajaan Negeri Perak telah menyerahkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM1.58 juta kepada kesemua mangsa bencana ribut melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Bantuan itu telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad semasa Majlis Penyerahan Bantuan KWABBN Daerah Kinta kepada mangsa bencana Monsun Timur Laut di Dewan Tawas, Kg. Tawas.
“Seramai 535 ketua isi rumah menerima bantuan sebanyak RM1,000 yang melibatkan mangsa ribut di Mukim Hulu Kinta, Mukim Sungai Terap, Chemor, Batu Gajah, Tanjung Rambutan dan Ipoh,” jelas beliau semasa ditemui pemberita di majlis tersebut.
Menurut YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, ia adalah bantuan tambahan kepada bantuan-bantuan yang telah diberikan sebelum ini.
Antaranya, bantuan wang ihsan RM300 kepada 352 ketua isi rumah yang berjumlah sebanyak RM105,600 dan bantuan pembaikan kecemasan kejadian bencana untuk membaiki 129 premis yang rosak akibat ribut di Mukim Chemor iaitu Tawas, Chepor dan Sri Klebang yang melibatkan jumlah sebanyak RM450,000.
Selain itu, bantuan pembaikan rumah melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berjumlah sebanyak RM405,000 serta bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melibatkan jumlah sebanyak RM48,600.
Selain daripada bantuan kewangan, mangsa turut menerima bantuan kotak makanan daripada NADMA dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Jelasnya lagi, bantuan yang diberikan ini telah melalui proses semakan yang teliti.
“Jawatankuasa pengurusan bencana daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah perlu melakukan tinjauan serta mengira kos kerosakan dan mengemukakan permohonan kepada NADMA untuk kelulusan peruntukan.
“Walau bagaimanapun, sebaik sahaja kerajaan negeri mendapat maklumat mengenai bencana, kami segera memberi bantuan apa yang perlu dan bantuan daripada NADMA ini adalah bantuan tambahan daripada kerajaan persekutuan,” ujarnya.
Turut hadir, YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun; Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah Meor Abdul Malik dan Penghulu Mukim Kinta Ipoh, Dr. Mohd Sani Kamaruddin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.