Program Lawatan Kerja Delegasi Perancis Ke Perak Darul Ridzuan.

Tetamu bergambar di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan.
IPOH, 10 Mei 2022- Kerajaan Negeri Perak menyambut baik kehadiran para delegasi Perancis yang mengadakan lawatan kerja ke Perak Darul Ridzuan pada 10 Mei sehingga 11 Mei 2022.
Program Lawatan Kerja Delegasi Perancis ke Perak Darul Ridzuan diketuai oleh Duta Besar Perancis ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Roland Galharague.
Turut serta bersama beliau adalah Presiden Kumpulan Persahabatan Antara Parlimen Perancis-Asia Tenggara, Mathieu Darnaud; Senator untuk Deux-Sevres, Philippe Mouiller; Senator untuk Moselle, Catherine Belrhiti; Senator untuk Tarn et Garonne, Francois Bonhomme serta dua pegawai pengiring iaitu Anne Laure Saint Dizier dan Victor Karayan.
Pada hari pertama lawatan, sesi perkongsian berkenaan negeri Perak merangkumi pelaburan, pelancongan dan perhutanan telah diadakan bertempat di Hotel Weil, Ipoh.
Sesi pembentangan telah dibentangkan oleh Ketua Eksekutif Perak Invest Management Centre (InvestPerak), Encik Izran Abdullah; Ketua Eksekutif Perak Tourism Management, Cik Nurmalis Musa dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Encik M Shah Redza Hussein.
Setelah itu, para delegasi berkesempatan untuk melawat beberapa tempat menarik di Ipoh seperti Muzium Ho Yan Hor, Muzium Han Chin Pet Soo, Concubine Lane dan Menara Jam Peringatan Birch.
Seterusnya pada hari kedua, ketibaan tetamu delegasi Perancis kira-kira jam 10.30 pagi ke Bangunan Perak Darul Ridzuan telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saraani bin Mohamad.
Turut sama mengiringi adalah Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan Abu Hassan YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya dan YABhg. Dato’ Seri Timor Shah Rafiq.
Sesi kunjung hormat ini diakhiri dengan perbincangan dan perkongsian pendapat antara kedua-dua pihak.
Seterusnya, para delegasi turut berkesempatan menerima perkongsian dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak mengenai Lumut Port di Casuarina@Meru sebelum meneruskan lawatan kerja ke Tasik Cermin, Ipoh.
Sumber : Korporat, SUK Perak.