Skip to main content

Majlis Perasmian Penutup Maksak Games 2022- Festival Kesenian Dan Tenpin Bowling

MAKSAK Perak berjaya meraih tempat kelima pada Festival Kesenian MAKSAK 2022

IPOH, 29 Mei 2022- Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2022- Festival Kesenian dan Tenpin Bowling telah melabuhkan tirai dengan penuh kemeriahan melalui keterlibatan peserta serta penganjurannya.

YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hassan yang juga merangkap Timbalan Yang Dipertua MAKSAK Perak berkata kejohanan yang besar seperti ini tidak akan berjaya tanpa sokongan pelbagai agensi seperti Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak, Ampang Superbowls Ipoh Parade, dan lain-lain pihak sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.

“Kejohanan ini merupakan wadah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan penjawat awam. Syukur kepada tuhan dengan adanya sokongan daripada semua pihak, kejohanan seperti ini telah menjadi lebih bermakna.

“Selain itu, pendedahan ini perlu berterusan dan dilaksanakan secara sistematik supaya impaknya nanti dapat dikecapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Penutup MAKSAK Games 2022 - Festival Kesenian Dan Tenpin Bowling di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YBrs. Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia, Encik Raden Hedly Shah Radin Muhamad Hambali; YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak,  Tuan Haji Mazlan Mohamad serta pengurus-pengurus pasukan, para jurulatih dan para pemain.

Ujar YB Dato’ Zulazlan Abu Hassan lagi, kejohanan tersebut merupakan wahana dalam mencari dan menggilap bakat di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penjawat awam.

“Kegiatan sukan ini sewajarnya menjadi budaya rakyat malaysia ke arah meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan. Sesungguhnya, akal yang sihat hadir daripada badan yang cergas, kata-kata ini membuktikan bahawa betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan yang akhirnya akan mengharmonikan setiap perjalanan hidup seseorang itu.

“Selain itu saya amat menggalakkan agar semua penjawat awam merebut peluang seperti ini kerana kejohanan sebegini dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri kita dan seterusnya membentuk modal insan yang berkualiti,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, bagi edisi kali ini, negeri Perak telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara tersebut yang bermula pada 26 sehingga 29 Mei di dua lokasi yang berbeza iaitu bagi festival kesenian bertempat di Auditorium RTM Perak manakala bagi acara tenpin bowling diadakan di Ampang, Superbowl, Ipoh Parade.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.