Skip to main content

Program Mesra Prihatin Suara Dan Permasalahan Rakyat

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan mock cheque Peruntukan Skim Pinjaman Sahabat Amanah Ikhtiar

TAIPING, 30 Mei 2022- Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) meneruskan jelajah ke Parlimen Bukit Gantang bagi mendengar suara dan menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan tersebut.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata program turun padang kali ini berada di Daerah Larut, Matang dan Selama khususnya bagi Parlimen Bukit Gantang dan melalui program ini kerajaan negeri ingin melihat sendiri permasalahan yang berlaku dalam kalangan rakyat di kawasan ini.

“Kita telah mendengar taklimat daripada Ketua Penolong Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama berkaitan dengan isu dan masalah di Parlimen Bukit Gantang dan sebanyak lapan isu telah diambil maklum oleh kerajaan negeri.

“Daripada lapan isu, sebanyak enam akan diselesaikan melalui peringkat jabatan masing-masing antaranya isu berkaitan tanah di Simpang Halt yang akan diselesaikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan begitu juga masalah banjir di dua kawasan di mana kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 iaitu RM300,000 untuk kawasan Kampung Padang Bola dan RM200,000 untuk kawasan Kampung Paya bagi kerja menaiktaraf longkang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) Daerah Larut, Matang dan Selama di Changkat Jering di sini.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zulazlan Abu Hasan serta YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Saidi Mohamed Daud yang juga merangkap ADUN Changkat Jering.

Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, seperti biasa pada setiap kali Program MESRA, akan diadakan sesi libat urus atau Town Hall bagi membuka ruang kepada para penjawat awam, pemimpin masyarakat dan masyarakat untuk meluahkan pendapat dan idea mereka bagi tujuan penambahbaikan.

“Pada tengah hari tadi, kita telah mengadakan sesi libat urus bersama penjawat awam dan pelbagai idea telah didengari oleh kita begitu juga pada sebelah petang di mana program sebegitu diadakan bersama usahawan, NGO dan pemimpin setempat.

“Secara objektif sesi libat urus tersebut adalah bagi mendengar aduan, cadangan dan rintihan rakyat daripada semua peringkat kerana pada 15 haribulan nanti, kerajaan negeri akan melancarkan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan melalui rangka serta pengisiannya ia bergantung kepada kehendak dan suara rakyat negeri Perak mengikut daerah, kawasan serta umur mereka,” ujarnya lagi.

Dalam pekembangan sama, melalui Program Mesra Parlimen Bukit Gantang, kerajaan negeri telah melakukan perbincangan berkaitan dengan cadangan pembangunan bagi kawasan- kawasan di sekitar tanah jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) agar tanah-tanah disekitarnya dapat dimanfaatkan dengan pembangunan yang memberi impak ekonomi kepada rakyat di kawasan tersebut.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.