Taman Herba Negeri Perak Diiktiraf Oleh Malaysia Book Of Records.
Para tetamu bergambar bersama
GOPENG, 31 Mei 2022- Taman Herba Negeri Perak telah menerima pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records sebagai Taman Herba Terbesar Dengan Pelbagai Jenis Tanaman Herba. Menurut satu kenyataan, Taman Herba ini berkeluasan 22 hektar dan mempunyai lebih 527 spesis tumbuhan herba.
Penyerahan sijil antara pihak Malaysia Book of Records dan Treasure Leisure Sdn Bhd telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di The Treasure @ Taman Herba Gopeng sempena Perak SADC Agrofest Raya 2022.
Turut berlangsung Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan; barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP Perak, Encik Haji Yahanis Yahya dan Pengarah Urusan The Treasure @ Taman Herba Gopeng, Puan Eidia Erriany Abdul Rahim.
Dalam perkembangan yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, PPPNP sedang dalam perancangan menubuhkan Syarikat Pengurusan Ekuiti Persendirian (PEMC) yang bertujuan untuk menguruskan pelaburan dan projek-projek berkaitan sekuriti makanan dan agro-pelancongan.
“Melalui PEMC ini, PPPNP berpotensi menarik para pelabur korporat dalam projek berimpak tinggi yang mampu memberi pulangan terbaik kepada negeri,” jelasnya lagi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.