Kerajaan Negeri Perkasa Pembangunan Teknologi Hijau Melalui Projek Mini Hidroelektrik

Para tetamu bergambar bersama.
IPOH, 8 Jun 2022- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) hari ini memeterai perjanjian usaha sama dengan Syarikat Kangsar Hidro Sdn Bhd bagi memperkasa inisiatif pembangunan Teknologi Hijau melalui Pembangunan Projek Mini Hidroelektrik (Hidro 2).
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, usaha kerjasama ini adalah untuk memenuhi kapasiti janaan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) iaitu sebanyak 59.77 MW dengan anggaran pelaburan projek berjumlah RM400 juta.
“Bagi menjayakan projek ini, PKNPk akan berperanan secara aktif sebagai pemudah cara dalam menarik pelaburan sektor swasta dengan menjalin kerjasama strategik bersama pemain-pemain industri.
“Hidro 2 dijangka beroperasi pada tahun 2027 bagi mewujudkan peluang perniagaan baharu dan menawarkan kira-kira 400 hingga 500 peluang pekerjaan dalam bidang dan kepakaran yang berkaitan.
“Kerajaan negeri melihat usaha sama ini sangat penting memandangkan Tenaga Boleh Baharu, atau Renewable Energy, bakal menjadi sumber tenaga terbesar di Malaysia menjelang tahun 2040 selaras dengan penggalakan penggunaan tenaga yang mampan dan lestari di peringkat global,” ujarnya dalam satu sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bagi Inisiatif Tenaga Boleh Baharu Melalui Projek Hidro 2 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Menurut YBhg. Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, projek ini bakal melibatkan enam daerah lokasi sungai iaitu Hulu Perak, Larut Matang dan Selama, Hilir Perak, Kuala Kangsar, Batang Padang serta Muallim.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zulazlan Abu Hassan; YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal Kamarudin dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Kangsar Hidro Sdn Bhd, Encik Syaril Ahmad Tajuddin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.