Skip to main content

Hari Pertama: Lawatan Kerja Pasangan Bagi Duta Negara Amerika Latin Dan Caribbean (GRULAC) Ke Negeri Perak Darul Ridzuan.

Para tetamu bergambar bersama di Hotel Weil

IPOH, 15 Jun 2022- Lawatan Kerja Pasangan bagi Duta Negara Amerika Latin dan Caribbean (GRULAC) ke Negeri Perak Darul Ridzuan dimulakan dengan lawatan ke Persatuan DAYBREAK untuk Kebajikan Orang-Orang Cacat.

Lawatan kerja itu melibatkan pasangan kepada Duta Chile, Dr. R.A Ambara Baratawidjaja, pasangan kepada Duta Cuba, Madame Saimi Reyes Carmona dan pasangan kepada Duta Peru, Madame Sandra Isabel Massieu De Morote.

Pengerusinya, Puan Sri Dato’ Sandra Lee berkata beliau amat berbesar hati atas kedatangan pasangan-pasangan duta GRULAC dan berpeluang untuk berkongsi sedikit sebanyak mengenai tujuan serta matlamat persatuan ini.

“Persatuan DAYBREAK ini memberi fokus dalam memperkasakan Orang Kelainan Upaya (OKU) menjadi individu yang mampu melaksanakan segalanya secara kendiri, bebas dan boleh bergaul baik bersama masyarakat.

“Kami melatih para pelajar kami dalam pelbagai bidang seperti kraftangan, pertanian, pembuatan sarung kaki, pemasangan dan pembungkusan serta pembersihan am,” jelasnya semasa sesi lawatan tersebut.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak, Puan Nor Tipah Majin dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Srihartini Mohamed Shamsudin.

Kemudiannya, delegasi meneruskan perjalanan ke Hotel Weil bagi jamuan makan tengah hari dan penyampaian cenderamata kepada para pasangan.

Hadir sama, YBhg. Datin Aznee Abu Samah, isteri kepada Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid dan YBhg. Pengerusi Biro Kerohanian dan Kebajikan, Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (PUSPANITA), Datin Nor Amizan Kamarudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.