Skip to main content

YAB Perdana Menteri Merasmikan Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak 2022.

YAB Perdana Menteri merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato' Sagor, di sini.

PASIR SALAK, 3 Julai 2022 - Penganjuran siri kelima Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Perak 2022 menutup tirai dengan Majlis Perasmian Penutupan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, di Litar Dato’ Sagor, hari ini.

Ketibaan YAB Perdana Menteri kira-kira jam 11.30 pagi disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad serta YB Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato' Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman, dengan diiringi paluan kompang kira-kira 30 peserta Persatuan Kompang Kampung Gajah.

Turut hadir, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid; YB Timbalan Menteri Pendidikan, YB Senator Dato' Dr. Mah Hang Soon; YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam ucapan, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, cabaran yang dihadapi hari ini termasuk perubahan senario ekonomi global, tidak mampu untuk ditangani sendirian oleh kerajaan, dan ia memerlukan pelaksanaan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu.

"Saya berharap Keluarga Malaysia menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan subsidi yang akhirnya merugikan kita semua.

"Konsep Keluarga Malaysia amat penting untuk menyatukan kita semua tanpa mengira perbezaan kepercayaan dan fahaman politik, untuk bersama-sama berganding bahu menghadapinya," katanya.

Beliau berkata sekarang bukan masa untuk menuding jari, kerana cabaran yang dihadapi hari ini amat berbeza dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah, sekali gus memerlukan seluruh tenaga yang perlu digembleng bersama untuk menghadapi cabaran ini, dan seterusnya memacu semula ekonomi Malaysia.

Turut berlangsung, penyampaian sumbangan kepada lima pelajar miskin yang telah mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (2021).

Sumbangan sebanyak RM1,000 dalam bentuk Simpan SSPN Prime, telah disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di reruai Jabatan Perdana Menteri (JPM), selepas Majlis Perasmian Penutup JAKM Negeri Perak 2022.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.