GLC Negeri Perak Sumbang 352 Ekor Lembu Korban
YB Setiausaha Kerajaan Negeri bergambar bersama para penyumbang
IPOH, 4 Julai 2022- Kerajaan Negeri Perak telah menerima sumbangan sebanyak 352 ekor lembu korban bernilai RM2,632,000 daripada Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak.
Sumbangan tersebut telah disampaikan melalui YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Antara GLC terlibat termasuk Lembaga Air Perak (LAP) yang menyumbangkan 50 ekor lembu dengan nilai RM300,000; Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan sumbangan 12 ekor lembu bernilai RM72,000; Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dengan sumbangan 230 ekor lembu bernilai RM1,660,000; Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) dengan sumbangan 40 ekor lembu bernilai RM 240,000 dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dengan sumbangan 60 ekor lembu bernilai RM360,000.
Sumbangan lembu korban tersebut akan diagihkan ke masjid, surau dan rumah sembelihan di kesemua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri Perak seterusnya akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.
Manakala bagi kawasan ADUN yang bukan beragama Islam, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah masing-masing.
Hadir sama dalam Majlis Akad Penyerahan Lembu Korban tersebut, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Timbalan Mufti Negeri, Dato’ Haji Zambri Hashim; YBhg. Pengurus Besar LAP, Dato’ Ishak Abdul Rahman; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Redza Rafik Abdul Razak;YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif SADC, Tuan Haji Yahanis Yahya; Encik Norafzanizam Abdul Manan yang mewakili MB Inc. serta Encik Zulkefli Abdullah yang mewakili SSI.
Dalam perkembangan sama, satu garis panduan khusus menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak terlibat akan diedarkan bagi memastikan pelaksanaan program itu berlandaskan tuntutan syarak.
Pelaksanaan ibadah korban perlu memenuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.