Skip to main content

Perak Lulus BizNita, BizMan, M2Yong Tingkat Pendapatan Isi Rumah.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak bergambar bersama kesemua penerima bantuan.

IPOH, 6 Julai 2022- Kerajaan Negeri Perak terus memberi fokus dalam membantu golongan peniaga kecil terutamanya daripada kalangan asnaf, penerima bantuan bulanan, golongan OKU dan B40 bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Menteri Besar telah bersetuju untuk meluluskan tiga program iaitu Program BizNita, BizMan dan Mentor Mentee Yong (M2Yong) dengan peruntukan berjumlah RM 1.10 juta.

“Buat pertama kalinya pada tahun ini, kita telah memperkenalkan Program Bizman iaitu bantuan peralatan yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) lelaki dan golongan OKU kerana kita menyedari ramainya penerima bantuan dan golongan berpendapatan rendah ini yang perlu kita bantu untuk mereka meningkatkan ekonomi keluarga.

“Di bawah BizNita dan BizMan, penerima akan menerima bantuan peralatan bernilai maksimum   RM3,000 seorang dan antara peralatan yang dibekalkan adalah mesin jahit lurus, peralatan memasak dan bakeri, mesin rumput, mesin kopi dan peralatan menggunting rambut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bantuan Biznita, Bizman dan M2Yong Tahun 2022 di Dewan Seminar Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), di sini.

Hadir sama YBrs. Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Puan Srihartini Mohamed Shamsudin serta YBrs. Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP), Encik Mohamad Rozlan Mohamad Rozali.

Ujar YB Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin lagi, selain Program BizNita dan BizMan, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan Program M2Yong yang merupakan sebuah program berbentuk mentor mentee kepada penerima bantuan tunai. Penerima akan menerima bantuan tunai antara RM500 sehingga RM1,000.

“Terdapat tiga fasa dalam program ini iaitu fasa pemilihan, fasa  latihan dan fasa pemantauan. Bagi peserta yang berjaya, mereka diwajibkan untuk hadir ke latihan kemahiran secara hands on di tempat latihan yang terpilih dan akan diberikan ilmu pengurusan perniagaan dan pemasaran yang sesuai.

“Program kemahiran dan latihan tersebut akan dikendalikan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) serta dibantu oleh STEP, manakala bagi perkembangan peserta program akan dipantau oleh Wanita Perak dan agensi yang terlibat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, ketiga- tiga program tersebut akan memberi manfaat kepada 700 orang penerima di seluruh negeri di mana permohonannya telah dibuka kepada umum pada 15 April 2022 sehingga 29 April 2022 lalu dan juga telah dipanjangkan kepada semua Pejabat Pusat Khidmat DUN melalui permohonan secara atas talian serta manual.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.