Skip to main content

Dua RUU Bakal Dibentangkan Di DUN Perak Bermula 18 Julai Ini.

YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak ketika sidang media.

KUALA KANGSAR, 14 Julai 2022- Dua Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan bakal dibentangkan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima Dewan Negeri Yang Keempat Belas Perak yang akan bermula pada 18 Julai ini.

YB Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Zahir Abdul Khalid berkata pada mesyuarat kali ini terdapat dua RUU yang akan dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.

“Pertama adalah Rang Undang-Undang Sumber Air Perak 2022 yang akan dibentangkan pada hari pertama persidangan di mana seramai sepuluh orang Ahli Yang Berhormat yang terdiri daripada kerajaan dan pembangkang akan menyertai sesi perbahasan. Sesi penggulungan bagi RUU tersebut akan dilangsungkan pada 19 Julai 2022.

“Manakala yang kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (Pembubaran) 2022 akan dibentangkan pada 20 Julai 2022 di mana seramai enam orang Ahli Yang Berhormat daripada kerajaan dan pembangkang akan menyertai sesi perbahasan. Sesi penggulungan bagi RUU tersebut akan dilakukan pada hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Dewan Kenanga, Casuarina@Kuala Kangsar di sini.

Hadir sama, YBrs. Setiausaha Dewan Negeri, Encik Muhammad Nazri Abdullah

Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid lagi, sepanjang perjalanan persidangan mesyuarat yang akan berlangsung, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak akan dikuatkuasakan sebagai langkah kawalan pencegahan COVID-19.

“Semua pihak yang berada di Dewan Negeri iaitu Ahli Dewan Negeri (ADUN), urus setia dan para petugas media diwajibkan menjalani Ujian Air Liur (Saliva Test) pada waktu pagi hari pertama dan ketiga persidangan sebelum dibenarkan masuk.

“Selain itu, pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sepanjang persidangan adalah diwajibkan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, orang ramai boleh mengikuti persidangan ini secara langsung melalui saluran Youtube DUN Perak dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

YDP Speaker dewan ketika sidang media Sidang DUN Negeri Perak

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.