KKM Sasar 1.5 Juta Rakyat Sertai Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan pada tahun ini
IPOH, 16 Julai 2022- Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan 1.5 juta rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas terutama bagi yang belum pernah menjalani saringan kesihatan untuk melakukannya pada tahun ini.
Menterinya, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya.
“Kira-kira 53 peratus rakyat Malaysia dewasa tidak menjalani saringan kesihatan dalam tempoh setahun yang lepas. Angka ini menggambarkan bahawa kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan masih rendah.
“Oleh kerana itu, inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dilaksanakan bermula Julai hingga Disember ini," katanya sewaktu berucap di majlis tersebut.
Tambahnya lagi, dengan program saringan kesihatan melalui kementerian dan ProtectHealth menerusi Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40), kerajaan menawarkan saringan kesihatan yang komprehensif secara percuma.
"Saya yakin dengan inisiatif ini, lebih ramai akan menyedari penyakit yang mereka ada dari awal contohnya penyakit pra kencing manis.
“Nasihat dan rawatan awal dapat diberikan untuk mengurangkan dan mengawal bilangan rakyat menghidap penyakit serius.
“Sejurus itu, dapat mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik-klinik kesihatan,” jelasnya.
Beliau berkata saringan kesihatan ini juga adalah salah satu ciri baharu di MySejahtera yang telah dinaik taraf.
Dalam perkembangan yang sama, rekod imunisasi bayi, bermula dengan bayi yang lahir pada 1 Julai 2022 turut dipaparkan di aplikasi itu.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihaan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Mohd Akmal Kamarudin; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh dan YBhg. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli.
Sumber : Korporat, SUK Perak.